
KUCHING: Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A. Rahman, menggesa ibubapa agar sentiasa memantau aktiviti anak-anak mereka dan memastikan mereka tidak terlibat dalam kegiatan lumba haram di jalan raya.
Beliau berkata demikian selepas mengesahkan bahawa sebanyak 22 motosikal dan 27 individu telah diperiksa dalam satu operasi yang dijalankan di sekitar kawasan Pasar Bau dan sepanjang Jalan Bau–Seropak–Krokong semalam.

Menurutnya, operasi tersebut dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau di kawasan bandar serta sepanjang Jalan Seropak–Krokong dari 5.00 petang hingga 9.00 malam.
“Sepanjang operasi dijalankan, polis telah mengeluarkan 25 saman atas pelbagai kesalahan trafik. Antara kesalahan paling banyak dikesan ialah mengubah suai ekzos (lima saman), tiada cermin sisi (lima saman), ubah suai struktur kenderaan (lima saman), memandu tanpa lesen (empat saman), tiada nombor pendaftaran (empat saman), dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (dua saman),” katanya.

Haide turut menasihatkan semua pengguna jalan raya, khususnya penunggang motosikal, supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan mengutamakan keselamatan diri.
“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Bau akan terus melaksanakan operasi seumpama ini serta mengalu-alukan maklumat daripada orang awam berkaitan aktiviti lumba haram atau kegiatan tidak sah lain. Sebarang maklumat boleh disalurkan melalui talian 082-763311,” tambahnya.
Oleh Connie Chieng