KOTA TINGGI: Seorang ibu tunggal di Taman Anggerik, Bandar Tenggara, di sini, menjual donut sejuk beku demi kelangsungan hidupnya setelah kematian suami dan menjaga anak tunggalnya yang menderita akibat sakit.
Sapura Ahmad, 40, berkata, Muhammad Naufal Rahim, 4, disahkan menghidap penyakit ‘Congenital Talipes Equino Varus’(CTEV) atau dikenali sebagai kaki belantan dan masalah urat saraf di tulang belakang sejak dilahirkan.
Penyakit CTEV ini menyebabkan Muhammad Naufal tidak seperti kanak-kanak lain kerana terpaksa bergerak secara mengesot berikutan keadaan kaki kirinya bengkok, kata Sapura ketika ditemui di rumahnya.
Tidak cukup dengan itu, pertumbuhan Muhammad Naufal juga terbantut akibat masalah urat saraf yang dihadapinya menyebabkan badannya kecil berbanding kanak-kanak sebayanya.
“Kakak semakin serius menjual donut ini secara tetap sejak awal tahun lepas setelah ketiadaan suami dan memikirkan itulah sahaja cara yang membolehkan saya meraih pendapatan,” katanya.
Menurutnya, kalau bergantung kepada bantuan yang diterima semata-mata, ia tidak cukup kerana perlu membayar sewa rumah setiap bulan, kos perubatan dan jagaan anak serta membeli barangan keperluan dapur.
“Tambah lagi, pada September ini, anak sudah dijadualkan untuk melalui pembedahan bagi meluruskan kakinya,” tambahnya.
Menurut Sapura, kebiasaannya beliau menghasilkan kira-kira 10 pek donut setiap hari untuk dijual berisi 12 biji donut setiap pek dan dijual dengan harga RM5 satu pek.
“Untung bersih kakak setiap bulan tidaklah banyak, sekitar RM400-RM500 tetapi ia cukup untuk dijadikan duit simpanan,” katanya yang aktif mempromosikan perniagaan menerusi kumpulan-kumpulan niaga dalam laman Facebook seperti Usahawan Bandar Tenggara dan COD Bandar Tenggara.
Sebelum ini beliau juga menerima tempahan untuk majlis atau kenduri kahwin namun sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)18 Mac lalu, beliau hanya bergantung kepada tempahan dalam talian sahaja.
Sapura berharap pengalamannya itu untuk menjana pendapatan melalui usaha sendiri dapat memberikan inspirasi kepada golongan lain khususnya wanita yang melalui dugaan yang sama sepertinya.
Dalam masa sama, dia berharap dapat menggembangkan perniagaan sedia ada dengan bantuan modal perniagaan dari pelbagai agensi kerajaan. – BERNAMA