KUALA LUMPUR: Seorang ibu merayu pihak berkuasa membantu menyelamatkan anak perempuannya berumur 24 tahun dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Kemboja sejak Jun lepas.
Wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Radiah, 56, berkata pada 19 Jun lepas anaknya telah berlepas ke Kuala Lumpur dari Kuching, selepas menerima tawaran bekerja sebagai pembantu restoran bersama seorang rakan untuk tempoh empat bulan.
Radiah yang berasal dari Kuching berkata anaknya yang juga seorang ibu tunggal telah menghubunginya pada hari yang sama sejurus tiba di Kuala Lumpur namun terputus hubungan selepas itu.
“Setelah hampir enam bulan, pada 19 Nov lepas saya menerima panggilan video daripada anak saya itu dan dia memberitahu telah dipukul, dikurung di dalam tandas selama seminggu selain tidak diberi makan dan hanya minum air paip.
“Dia meminta tolong, badan dan kakinya dipukul hingga kakinya kembang bengkak. Dia sangat lemah, kerana minum air paip sahaja. Saya merayu sangat-sangat, tolong selamatkan anak saya,” katanya pada sidang media Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha Agung MHO Datuk Hishamuddin Hashim.
Radiah berkata dia tidak tahu bagaimana anaknya boleh berada di Kemboja kerana selama ini beranggapan dia masih lagi di Kuala Lumpur setelah menerima tawaran kerja di sini, dan telah membuat laporan polis pada Jumaat lepas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching.
Sementara itu, Hishamuddin berkata jenayah pemerdagangan manusia semakin meluas hingga terdapat banyak kawasan baharu yang dibina bagi kegiatan jenayah itu di negara seperti Myanmar.
“Perlu ada tindakan yang tuntas dan konkrit oleh negara-negara ASEAN seperti menjalankan siasatan rentas sempadan untuk memberi tekanan kepada negara yang masih lagi mempunyai operasi kegiatan penipuan dan jenayah pemerdagangan manusia,” katanya. — BERNAMA