
KUALA LUMPUR: Ibu kepada pelakon Ida Nerina, Datuk Marina Md Yusoff meninggal dunia semalam akibat sakit tua.
Allahyarhamah Marina, 84, menghembuskan nafas terakhir pada 5.16 petang di sebuah hospital swasta di ibu negara.
Ketika dihubungi Bernama, Ida Nerina memaklumkan ibunya menghembuskan nafas terakhir di sisi ahli keluarga.
Jenazah akan disolatkan di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara pada 10 pagi ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini.
Allahyarhamah adalah bekas ahli politik dan usahawan serta pernah terlibat dalam dunia korporat.- Bernama