Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Ibu pejabat baharu MDLBS pacu pertumbuhan Sibu Jaya
  • Tengah
  • WILAYAH

Ibu pejabat baharu MDLBS pacu pertumbuhan Sibu Jaya

Utusan Sarawak 6 hours ago
ROBERT Lau Hui Yew (tiga kiri) ketika melakukan upacara miring sebagai simbolik perasmian majlis Pra Gawai Dayak anjuran bersama SUPP Cawangan Dudong dan Sibu Jaya 2025 di Dewan Serbaguna Sibu Jaya, semalam.

SIBU: Pembukaan ibu pejabat baharu Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) di Sibu Jaya bakal menjadikan kawasan itu sebagai pusat pertumbuhan penting, kata Ahli Dewan Negara, Senator Robert Lau Hui Yew.

Beliau berkata, ibu pejabat baharu itu, yang meliputi kawasan seluas 6,000 kilometer persegi, merupakan pencapaian besar kerana tidak terletak di Selangau, Sungai Bidut, atau Stapang, tetapi di Sibu Jaya, menunjukkan peranan penting bandar itu dalam pembangunan Sarawak.

“Sibu Jaya kini berkembang sebagai sebuah bandar yang berjaya. Lihat sahaja kemudahan yang tersedia di sini, sangat berbeza jika dibandingkan dengan kawasan lain,” katanya ketika berucap pada majlis Pra Gawai Dayak anjuran bersama SUPP Cawangan Dudong dan Sibu Jaya 2025 di Dewan Serbaguna Sibu Jaya, semalam.

Lau, yang juga Penasihat Kehormat SUPP Cawangan Bawang Assan, menambah bahawa penduduk di kawasan seperti Bawang Assan dan Sungai Bidut masih menghadapi kekurangan infrastruktur asas seperti jalan raya, sedangkan pembangunan di Sibu Jaya berlaku dengan pesat.

“Banyak penduduk dari rumah panjang di Rantau Panjang telah berpindah ke sini, mengingatkan saya kepada sejarah Sibu 100 tahun lalu, apabila bandar ini mula berkembang sebagai ‘Bandar Foochow Baru’ dengan kedatangan masyarakat Foochow,” tambahnya.

Selain itu, beliau berkata Kerajaan Persekutuan telah meluluskan projek pembinaan dua buah sekolah, iaitu SMK Dudong dan SK Dudong, yang kini dalam pembinaan, selain pembukaan jalan baharu menuju ke Jalan Kong Yit Khim.

“Dua tahun lalu, kawasan ini hampir tiada kenderaan, tetapi kini, jalan tersebut mula mengalami kesesakan pada waktu pagi, menandakan pertumbuhan pesat bandar ini,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi SUPP Cawangan Dudong, Wong Ching Yong, berkata beliau telah berjaya memohon lebih RM10 juta pembiayaan daripada Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) untuk membina 20 buah rumah panjang sejak 2021.

“Pinjaman HDC ini mempunyai banyak kelebihan, termasuk tanpa faedah, tempoh bayaran sehingga 300 bulan atau 25 tahun, serta insurans percuma seperti insurans kebakaran.

“Saya mewakili penduduk di 20 rumah panjang tersebut ingin mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, atas sokongan padu beliau,” katanya.

Turut hadir Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Sempurai Petrus Ngelai, Pengerusi SUPP Cawangan Sibu Jaya, Kong Sing Ping, Pengerusi SUPP Cawangan Bawang Assan, Kevin Lau Kor Jie, Setiausaha Politik Premier Sarawak, William Anut, Temenggong Masyarakat Iban, Temenggong Stanley Geramong Bandar dan beberapa pemimpin masyarakat lain.

Oleh Tarani Lanting

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Kapit kaya adat Iban, sesuai diangkat sebagai pusat budaya Dayak
Next: Majlis Makan Malam Pra Gawai Padawan, eratkan perpaduan komuniti Bidayuh

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.