
KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menjelaskan bahawa tindakan mengesan ibu kandung atau waris kepada bayi yang ditinggalkan di Baby Hatch bukan bertujuan menghukum, sebaliknya bagi memastikan keselamatan, identiti sah serta hak bayi berkenaan dilindungi sepenuhnya.
Timbalan Pengarah Persekutuan JKM Sarawak, Mohd Ali Taib, berkata langkah pengesanan ibu kandung merupakan tanggungjawab wajib di bawah bidang kuasa Pelindung JKM untuk mendapatkan maklumat latar belakang keluarga serta dokumen sah kelahiran bayi.
“Pengesanan ini penting bagi mengesahkan identiti dan hubungan biologi melalui dokumen atau ujian DNA, bagi mengelak sebarang tuntutan palsu atau pengambilan bayi secara tidak sah,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak, hari ini.
Menurut beliau, tanpa pengesahan daripada ibu kandung, proses pendaftaran kelahiran dan penentuan kewarganegaraan bayi akan menjadi sukar, sekali gus menjejaskan akses anak berkenaan terhadap pendidikan, kesihatan, serta perlindungan undang-undang.
“Tujuan utama kita bukan semata-mata untuk mendaftarkan kelahiran, tetapi untuk memastikan setiap anak mempunyai identiti sah dan hak mereka sebagai warganegara terpelihara,” ujarnya.
Mohd Ali menjelaskan, sekiranya ibu kandung dapat dikesan, JKM akan membuat penilaian kelayakan penjagaan bagi menilai sama ada ibu tersebut mampu memberi penjagaan semula kepada anak berkenaan berdasarkan faktor emosi, sosial dan ekonomi.
“Jika didapati layak, usaha penyatuan semula keluarga akan diutamakan. Namun, jika ibu tidak berkeupayaan, proses pengangkatan atau penjagaan tetap akan dilaksanakan secara sah di bawah Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.
Beliau menambah, bayi yang ditinggalkan juga akan ditempatkan sementara di bawah penjagaan Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) atau keluarga pelihara berdaftar yang diluluskan oleh JKM, sementara menunggu keputusan mahkamah bagi penempatan tetap.
Dalam masa sama, Mohd Ali menegaskan bahawa JKM tidak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap ibu kandung yang menyerahkan bayi melalui sistem Baby Hatch.
“Penyerahan bayi secara selamat bukan satu kesalahan jenayah. Malah, sistem ini diwujudkan untuk mengelakkan bayi dibuang di tempat berbahaya dan memberi ruang kepada ibu yang terdesak untuk membuat pilihan selamat,” jelasnya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa hak privasi ibu kandung akan sentiasa dilindungi mengikut etika kerahsiaan pekerja sosial.
“Pengesanan dilakukan secara sulit dan tidak mendedahkan identiti ibu kepada umum. Kita hanya menggalakkan ibu berkongsi maklumat asas seperti nama dan asal usul secara sukarela,” ujarnya lagi.
Sekiranya tiada waris tampil, bayi akan dirujuk kepada hospital berdekatan untuk pemeriksaan kesihatan sebelum JKM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka fail siasatan dan membawa kes ke Mahkamah Bagi Kanak-Kanak untuk mendapatkan perintah perlindungan sementara atau penjagaan tetap.
Proses pendaftaran lewat kelahiran juga akan dibantu oleh JKM dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), bagi memastikan bayi berkenaan tetap mempunyai identiti sah.
“Sistem Baby Hatch diwujudkan untuk memastikan keselamatan bayi dan memberi peluang kepada ibu dalam situasi terdesak. Semua maklumat yang dikongsi adalah rahsia dan dilindungi undang-undang,” katanya.
Mohd Ali menegaskan bahawa setiap langkah yang diambil berpaksikan kepada prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak (best interest of the child) seperti yang digariskan oleh Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) yang telah diratifikasi Malaysia sejak 1995.
“Matlamat utama JKM ialah memastikan setiap bayi yang dilahirkan walau dalam apa keadaan sekalipun mempunyai hak untuk hidup, dilindungi dan mendapat kasih sayang dalam persekitaran yang selamat,” tegasnya.
Oleh Shikin Mahmud