
JULAU: Seorang wanita berusia 21 tahun dijatuhi hukuman penjara 18 tahun oleh Mahkamah Sesyen Sarikei selepas disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana gagal memberikan penjagaan sewajarnya terhadap anak lelakinya berumur empat tahun yang meninggal dunia akibat pendarahan dalam otak pada 25 Oktober lalu di Unit Rawatan Rapi Pediatrik Hospital Sibu.
Hakim, Stella Augustine Druce, menetapkan bahawa tertuduh, Angel Yang Pei Yun, akan menjalani tempoh penjara bermula dari tarikh reman pada 31 Oktober 2025.
Selesai menjalani hukuman penjara, tertuduh juga diarahkan menjalani bon sebanyak RM50,000 tanpa deposit, berkelakuan baik selama dua tahun dengan dua penjamin tempatan, serta melaksanakan kerja sosial selama 240 jam. Tertuduh dihantar ke Penjara Sibu untuk menjalani hukuman.
Ketua Polis Daerah Julau, DSP Alif Haiqal Ramesh Abdullah, berkata pihak polis menahan tertuduh bertindak atas maklumat yang diterima, dan kertas siasatan telah dikemukakan kepada Kamar Pengarah Pendakwaan Negeri untuk tindakan lanjut.
“Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius sebarang pengabaian terhadap kanak-kanak dan menggesa orang ramai supaya sentiasa peka terhadap kebajikan kanak-kanak di sekeliling mereka. Orang ramai juga diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan kerana siasatan dijalankan secara adil dan saksama,” katanya.
Kes ini bermula pada 21 Oktober 2025 sekitar jam lebih kurang 3.30 petang, kanak-kanak tersebut telah dihantar ke wad kecemasan Hospital Sibu dalam keadaan mengalami pendarahan otak yang kritikal dan retak pada tengkorak kepala.
Tiada unsur penderaan dalam kes kanak-kanak lelaki berumur empat tahun yang disahkan meninggal dunia pada 25 Oktober 2025 di unit rawatan rapi pediatrik Hospital Sibu akibat pendarahan dalam otak.
Hasil siasatan awal mendapati mangsa tidak menerima penjagaan sewajarnya sebelum dibawa ke hospital.
Ibu bapa dan penjaga perlu sentiasa memberikan perhatian serta penjagaan yang rapi terhadap kanak-kanak.
Keselamatan mereka mesti diutamakan selagi berada di bawah tanggungan, agar tidak diabaikan sekiranya berlaku sebarang kejadian yang mengancam nyawa.
Kes ini telah mendapat perhatian ramai memandangkan isu keselamatan kanak-kanak yang sentiasa menjadi keutamaan pihak berkuasa.