
BETONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnical Rayong Ngipa menegaskan golongan ibu bapa di negeri ini agar tidak melepaskan tanggungjawab mendidik anak mereka kepada guru dan sekolah semata-mata.
Menurutnya, ibu bapa harus mempunyai peranan sama penting seperti guru di sekolah untuk mendidik anak apabila berada di luar sekolah selepas sahaja tamat waktu persekolahan.
“Golongan ibu bapa perlu melakukan refleksi kendiri atau bermuhasabah dan tidak menyerah tanggung jawab mendidik anak mereka kepada guru atau pihak sekolah semata-mata. Mereka perlu memastikan setiap usaha yang dimulakan di sekolah akan diteruskan apabila pelajar berada di rumah.
“Peranan pendidikan masa kini telah banyak berubah dengan jelas daripada fungsi tradisionalnya. Para pelajar bukan sahaja datang ke sekolah untuk belajar tetapi turut dididik sebagai modal insan berilmu sebagai pewaris negara di masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Kesyukuran Kedit di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Patinggi Kedit, hari ini.
Bagi memastikan sistem pendidikan kekal dinamik dan prgresif tambahnya, semua pihak terlibat harus bersedia untuk melalui proses perubahan dan pembaharuan dalam sistem pendidikan negara seiring dengan peredaran zaman.
“Dengan kata lain, kita perlu melahirkan pelajar yang cemerlang dan kompeten iaitu mencapai standard kualiti dalam usaha melahirkan aspurasi dan agenda negara,” ujarnya.
Dengan itu jelas Dr Johnical berkata ibu bapa juga perlu kerap berkunjung ke sekolah anak untuk bertanyakan tentang tahap pelajaran dan jika perlu, ibu bapa harus berbincang dengan sekolah segala masalah dihadapi anak.
Masa sama katanya, para guru juga perlu melakukan anjakan paradigma dalam melaksanakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang menggalakkan pelajar untuk berfikir secara kreatif dan inovatif.
Tambahnya lagi, tindakan menganjurkan majlis kesyukuran di sekolah juga selari dengan matlamat bagi memberi dorongan dan motivasi kepada para pelajar untuk meneruskan kecemerlangan mereka dalam bidang pendidikan.
Untuk rekod, terdapat seramai 83 pelajar daripada SMK Datuk Patinggi Kedit Betong telah mengambil bahagian dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024. Daripada jumlah itu, seramai 25 pelajar telah berjaya mencapai keputusan cemerlang dengan memperoleh 4A dan ke atas.
Dengan kejayaan itu, menyaksikan SMK Datuk Patinggi Kedit berjaya menduduki tempat pertama diantara sekolah-sekolah menengah dalam Bahagian Betong dengan Gred Purata Sekolah (GPS) keseluruhan sebanyak 4.69 mata.
Oleh Adi Safarman