
LIMBANG: Kanak-kanak dikenal pasti sebagai antara golongan yang mudah terdedah menjadi mangsa jenayah penipuan atau scammer di media sosial akibat ketagihan terhadap penggunaan gajet.
Wakil Pegawai Daerah Limbang, Mariati Samat berkata, ketagihan gajet dalam kalangan kanak-kanak di negara ini tidak boleh dipandang remeh kerana ia boleh menjejaskan interaksi sosial, prestasi pembelajaran serta mendedahkan mereka kepada risiko penipuan atau menjadi mangsa scammer.
Katanya, dalam era teknologi serba canggih ini, ibu bapa memikul tanggungjawab yang besar untuk mendidik dan memantau aktiviti anak-anak agar tidak terlalu banyak menghabiskan masa dengan gajet.
“Anak-anak memerlukan perhatian yang bermula dari rumah. Kita perlu mendidik mereka bagi mengelakkan ketagihan terhadap gajet. Ini merupakan satu tanggungjawab yang berat.”
“Anak-anak merupakan aset penting negara. Jika ibu bapa sendiri boleh terdedah kepada risiko ditipu oleh scammer, perkara yang sama juga boleh berlaku kepada anak-anak sekiranya mereka tidak dikawal dan dipantau,” katanya semasa Bengkel Kemahiran Keibubapaan anjuran KEMAS Limbang di Dewan Kampung Pabahanan, hari ini.
Tambah beliau, tanggungjawab mendidik anak-anak tidak seharusnya diserahkan sepenuhnya kepada guru, kerana anak-anak sebenarnya banyak menghabiskan masa di rumah bersama ibu bapa.
Menurutnya, kemahiran anak-anak perlu diperkasakan dalam dunia yang semakin mencabar, kerana merekalah generasi yang bakal memimpin negara pada masa hadapan.
Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), katanya, memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak melalui pendidikan awal kanak-kanak supaya mereka memiliki pelbagai kemahiran selain daripada menguasai kemahiran membaca, menulis, dan mengira.
Bengkel Kemahiran Keibubapaan ini merupakan satu kaedah berkesan untuk memastikan proses pembelajaran di Tabika KEMAS dapat diimplementasikan juga di rumah.
Antaranya ialah mengenai kepentingan pemakanan seimbang untuk tumbesaran anak-anak, penjagaan kesihatan mental, rohani dan jasmani dalam kalangan mereka, serta aspek pendidikan awal kanak-kanak.
Turut hadir Pegawai KEMAS Bahagian Limbang Khairul Amree Abdul Rahman
Oleh Adeng Edrus