BINTULU: Sokongan ibu bapa, jurulatih dan komuniti menjadi antara elemen penting dalam membentuk serta mengembangkan potensi pemain bola sepak muda di Bintulu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, pembangunan seorang atlet muda bukan bergantung kepada keupayaan pemain semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak sejak di peringkat akar umbi.
“Untuk membangunkan seorang atlet muda, ia bukan usaha seorang kanak-kanak sahaja.
“Di belakang setiap pemain muda ada ramai pihak yang terus memberi galakan, bimbingan dan sokongan.
“Justeru, kita perlu memastikan mereka terus diberikan ruang untuk bermain, belajar dan menikmati sukan,” katanya pada majlis penyampaian hadiah Kejohanan Bola Sepak Remaja Petronas Bawah 10 Tahun 2026 (PYFCT 2026) Bintulu di Stadium Bintulu, hari ini.
Johnny Pang berkata, pertandingan di peringkat usia muda turut memberi peluang kepada kanak-kanak mempelajari nilai penting seperti kerja berpasukan, disiplin dan ketekunan selain membina keyakinan diri.
Menurutnya, kemenangan bukan satu-satunya ukuran kejayaan kerana pengalaman yang diperoleh pemain ketika beraksi di padang juga penting dalam proses perkembangan mereka.
Beliau berharap bakat yang diketengahkan menerusi kejohanan seperti PYFCT dapat terus dibimbing dan diberikan peluang untuk berkembang sehingga mampu mewakili Sarawak dan negara pada masa hadapan.
Dalam kejohanan itu, ASRMxIGAN FC muncul juara, diikuti Mukah United sebagai naib juara manakala Leetonia Soccer Academy di tempat ketiga.
ASRMxIGAN FC turut meraih anugerah Fair Play, dengan pemainnya Mohammad Amzar Hazim Mohd Amiru Aniza dinobatkan sebagai Pemain Terbaik dan Mohd Raish Iman Zumie sebagai Penjaga Gol Terbaik.
Muhammad Azzreil Arislan dari Leetonia Soccer Academy pula memenangi anugerah Penjaring Terbanyak.



