
SIMANGGANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang mengingatkan para ibu bapa agar sentiasa memantau dan mengawal penggunaan gajet di kalangan anak-anak selaras dengan kepantasan kemajuan teknologi masa kini.
Beliau menegaskan bahawa pengawalan yang rapi amat penting bagi memastikan kemudahan teknologi tersebut memberi impak positif dan berkesan kepada proses pembelajaran, bukannya mendatangkan masalah sosial atau ketagihan yang memudaratkan.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Merarau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Munggu Bringgin yang diadakan di Bandar Simanggang, dekat sini semalam.
Dalam majlis yang sama, Mong merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Guru Besar SK Munggu Bringgin, Gita Rengkang, atas khidmat bakti dan kecemerlangan beliau menerajui sekolah tersebut.
Menurut beliau, kepimpinan Gita bukan sahaja berjaya memacu pembangunan sekolah, malah telah membimbing para murid untuk mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Mong turut mendoakan agar Gita terus dikurniakan kesihatan dan kejayaan dalam menempuh fasa persaraan wajib yang bakal menjelang tidak lama lagi.
Sehubungan itu, beliau berharap agar pihak PIBG dan seluruh warga sekolah dapat memberikan kerjasama yang erat kepada Guru Besar baharu yang bakal dilantik kelak demi kesinambungan kecemerlangan pendidikan.
Sementara itu, Gita Rengkang yang telah berkhidmat selama lebih empat tahun di sekolah berkenaan menzahirkan rasa terharu dan berterima kasih atas sokongan padu daripada semua pihak termasuk guru, staf, dan penduduk setempat.
Beliau mengakui bahawa kerjasama erat daripada PIBG dan ketua masyarakat merupakan tunjang utama yang memudahkan segala urusan pentadbiran dan aktiviti murid sepanjang beliau bergelar pendidik.
Pada majlis sama, Mong turut mengumumkan pemberian Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM10,000 kepada PIBG sekolah berkenaan bagi menyokong aktiviti pendidikan dan pembangunan pelajar.
Turut hadir, Yang Dipertua PIBG, Tuai Rumah Maureen Barang, Penghulu Menjang Niah, Penghulu Banga Munap, Penghulu Anthony Jiram Sampek, Kaunselor Beliang Bali, Kaunselor Ajin Bunchol serta warga sekolah dan jemputan lain.
Oleh Adi Safarman