
BINTULU: Kerajaan Sarawak menekankan pendidikan awal kanak-kanak sebagai asas melahirkan modal insan berkualiti selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, ibu bapa memainkan peranan penting sebagai rakan strategik kerajaan dalam membentuk generasi muda yang berdisiplin, berkeyakinan dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
“Pendidikan awal bukan hanya tertumpu kepada akademik, sebaliknya turut merangkumi pembangunan emosi, sosial, moral dan spiritual.
“Ibu bapa perlu mengaplikasikan pendekatan positif dalam mendidik anak-anak di rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan Bengkel Kemahiran Keibubapaan Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA)/Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) Permata Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Bahagian Bintulu 2025 di Dewan Suarah Bintulu di sini, hari ini.
Menurutnya, bengkel anjuran KEMAS itu memberi peluang kepada ibu bapa meningkatkan pengetahuan dan kemahiran keibubapaan, seterusnya menyokong usaha kerajaan memperkukuh pendidikan awal di peringkat komuniti.
Johnny Pang menegaskan kerajaan Sarawak komited memastikan setiap anak di Bintulu, khususnya di Tanjong Batu, mendapat akses kepada pendidikan awal terbaik demi kesejahteraan keluarga dan pembangunan masyarakat.
Oleh Carolyne Utih