KUCHING: Golongan ibu bapa di sekitar bandar raya ini kelihatan bersedia untuk menghantar anak-anak kembali ke sekolah bermula 15 Julai ini.
Bagi Nur kasmila Alik, 32, persediaan awal yang dilakukannya adalah membekalkan anak-anak dengan ‘hand sanitizer’ dan ‘face shield’ berikutan kanak-kanak tidak tahan menggunakan pelitup muka untuk tempoh yang lama.
Dalam masa yang sama, Nur Kasmila mengakui dia berasa risau kerana kanak-kanak tidak memahami standard operasi prosedur (SOP) seperti golongan dewasa.
“Namun pembukaan sekolah adalah wajar dilaksanakan berikutan selama ini anak-anak hanya bermain sahaja di rumah,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.
Nur Kasmila yang ibu kepada dua cahaya mata; Muhammad Zafran, 9, dan Nur Zafirah,4, berkata dia sering mengingatkan anak-anak agar di sekolah nanti sentiasa menjaga kebersihan dan selalu mencuci tangan serta jangan memegang muka atau mulut dengan tangan yang tidak bersih.
Sementara itu, Czacza Liyana,32, mengakui persediaan yang perlu ada untuk anak-anak kembali ke sekolah ialah ibu bapa perlu memastikan anak yang tidak sihat atau mempunyai gejala batuk, demam dan sesak nafas tidak ke sekolah.
“Sebagai ibu bapa, perasaan kami untuk menghantar anak ke sekolah dengan keadaan sekarang ialah kami berasa amat takut dan bimbang akan mereka kerana bimbang mereka tidak pandai menjaga jarak antara satu sama lain dan bersentuhan sesama sendiri,” ujarnya sambil mengakui sentiasa menasihati anak-anak kelak untuk patuhi SOP, pastikan juga anak-anak faham dan tahu cara untuk batuk dan bersin dengan betul terutama apabila bersama rakan lain di sekolah.
“Sebagai ibu bapa, kami haruslah menyediakan Wet Tissue, Hand Sanitizer, Extra Face Mask untuk keselamatan anak-anak,” jelasnya.