
SARATOK: Polis menahan seorang wanita berusia 47 tahun selepas disyaki menganiaya anak angkatnya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal dalam satu kejadian di Taman Kim Hin, Saratok.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 selepas satu laporan polis dibuat pada 7 Februari 2026 oleh seorang guru yang bimbang akan keselamatan mangsa.
Menurut beliau, kejadian dipercayai berlaku pada 5 Februari lalu kira-kira 6.30 petang di kediaman mangsa, melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.
Mangsa didakwa dipukul oleh ibu angkatnya menggunakan objek keras, selain ditampar di bahagian muka.
“Siasatan awal mendapati pengadu menerima satu kiriman video melalui aplikasi WhatsApp daripada seorang guru sekolah mangsa yang juga jiran, memaparkan bunyi dan suara tangisan mangsa dipercayai akibat dipukul,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas mangsa pada keesokan harinya mendapati terdapat kesan lebam di pipi kanan serta calar di bahagian dahi dan belakang badan.


Mangsa turut memaklumkan sering menjadi mangsa pukulan sejak setahun lalu.
DSP Mathew memaklumkan, mangsa telah dibawa ke Hospital Saratok sebelum dirujuk ke Hospital Sarikei untuk rawatan lanjut.
Pemeriksaan doktor mengesahkan mangsa mengalami kecederaan tisu lembut di bahagian belakang badan dan muka.
“l”Hasil siasatan mendapati suspek merupakan ibu angkat dan penjaga sah mangsa sejak mangsa berusia tiga tahun.
“Suspek ditahan di Jalan Bunga Raya, Saratok dan mengaku melakukan perbuatan tersebut. Polis turut merampas seutas hos berwarna kuning yang dipercayai digunakan dalam kejadian,” katanya.
Tambah beliau, punca kejadian dipercayai berpunca daripada pertengkaran apabila mangsa bertanya mengenai persiapan untuk menghadiri kelas tuisyen, sebelum suspek bertindak memukul dan menampar mangsa.
Polis akan memohon reman terhadap suspek selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan, manakala kertas siasatan akan dilengkapkan dengan segera untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut.
Kes kini diklasifikasikan sebagai selesai selepas suspek berjaya ditahan.
Oleh Adi Safarman