
SARATOK: Seorang wanita berusia 47 tahun didakwa dan dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Majistret Sri Aman semalam atas pertuduhan mendera seorang kanak-kanak perempuan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal dalam satu kejadian yang dilaporkan awal bulan ini.
Menurut kenyataan media Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Selain itu, mahkamah juga mempunyai kuasa untuk mengenakan hukuman tambahan yang difikirkan perlu sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 31(2), 31(3) dan 31(3A) akta yang sama, termasuk perintah khidmat masyarakat dan bon berkelakuan baik.
Kejadian dipercayai berlaku pada 5 Februari lalu kira-kira 6.00 petang di sebuah rumah, Taman Indah, di sini.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang merupakan ibu angkat serta penjaga sah kepada mangsa, seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, didakwa telah menganiaya mangsa sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Di hadapan Majistret Intan Nurul Farena Zainal Abidin, tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM12,000 dan sekiranya gagal membayar denda tersebut, tertuduh boleh dipenjara selama 15 bulan.
Tertuduh bagaimanapun telah membayar denda berkenaan. Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani khidmat masyarakat selama 36 jam dalam tempoh enam bulan.
Selain itu, tertuduh dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000 tanpa deposit.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Chrissie Ngiron Mijun.
Kes ini membuktikan komitmen pihak polis dalam menyiasat kes melibatkan keselamatan dan kebajikan kanak-kanak secara teliti serta memastikan tindakan sewajarnya diambil mengikut lunas undang-undang negara.
Oleh Adi Safarman