
KUCHING: Penganjuran International Borneo Innovation, Exhibition and Competition (IBIEC) 2025 disifatkan sebagai platform penting yang berjaya menyatukan inovator dari seluruh Borneo dan rantau serantau.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine, IBIEC memberi peluang kepada bakat tempatan dan antarabangsa mengetengahkan idea inovatif yang berimpak tinggi.
“Atas nama rakyat Mukah dan kerajaan Sarawak, saya amat berbesar hati mengalu-alukan kehadiran semua ke majlis penutupan IBIEC 2025.
“Kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi pendidikan dan industri telah menjadikan penganjuran kali ini lebih bermakna dan berkesan.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada MEITD, Pusat Khidmat DUN N.57 Tellian serta Bank Rakyat atas sokongan tidak berbelah bahagi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan rasmi penutupan IBIEC 2025 di Hotel Waterfront di sini, hari ini.
Tambah beliau, penglibatan institusi dari Indonesia seperti Politeknik Negeri Jakarta, Politeknik Manufaktur Bandung dan Universitas Negeri Makassar menyerlahkan kekuatan kerjasama rentas negara.
“Kehadiran rakan strategik dari Sarawak seperti Politeknik Mukah, CENTEXS, Sarawak Skills dan MRSM Mukah memberi nilai tambah kepada usaha memperkasa inovasi tempatan.
“Tema tahun ini amat relevan dengan hala tuju pembangunan negeri iaitu menjadikan Sarawak sebagai peneraju ekonomi digital dan hijau,” tegasnya.
Menurut beliau lagi, sebanyak 280 penyertaan diterima dalam sembilan kategori pertandingan yang merangkumi bidang teknologi hijau, kejuruteraan, ICT, sosial, pendidikan dan keusahawanan, membuktikan potensi besar dalam kalangan masyarakat.

“Saya turut berbangga dengan penyertaan pelajar sekolah dalam kategori Saintis Muda dan Saintis Junior yang menampilkan bakat luar biasa.
“Secara tidak langsung, IBIEC menyokong pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya dalam aspek pendidikan dan pembangunan teknologi,” katanya.
Royston turut mengumumkan bahawa sebanyak 62 penyertaan diterima daripada pelajar sekolah, termasuk 13 penyertaan dari sekolah di Mukah yang merupakan jumlah tertinggi dalam kalangan daerah di Sarawak.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Politeknik Mukah selaku tuan rumah, serta seluruh pasukan penganjur atas komitmen menganjurkan program berprestij itu.
Beliau berharap projek-projek yang dipamerkan dapat dikembangkan dan dikomersialkan, sekali gus memberi manfaat kepada komuniti setempat, khususnya di kawasan luar bandar.
IBIEC 2025 diketuai oleh Politeknik Negeri Jakarta sebagai penganjur utama, dengan kerjasama 10 rakan penganjur termasuk Politeknik Mukah, Pejabat Pendidikan Daerah Mukah, Sarawak Skills, CENTEXS dan Education Malaysia Indonesia.
Oleh Masrin Affirah