
MINA: Ibadah melontar yang dilaksanakan jemaah haji di Mina bukan sekadar memenuhi tuntutan syariat, malah membawa maksud lebih mendalam sebagai simbol pembaharuan diri dan penolakan sifat mazmumah dalam kehidupan seorang Muslim.
Pengarah Operasi Bimbingan Tabung Haji (TH) Shahrin Awaludin berkata aktiviti melontar tiga jamrah, iaitu Jamrah Ula, Wusta, dan Kubra yang dilaksanakan dari 10 hingga 13 Zulhijjah turut meneladani sunnah Nabi Muhammad SAW serta menghidupkan kembali jejak pengorbanan Nabi Ibrahim A.S.
“Aktiviti melontar ini simbolik bagi membuang sifat-sifat mazmumah seperti sombong, ingkar dan segala sifat tercela dalam diri. Ia menjadi satu ikrar rohani supaya jemaah berubah menjadi insan lebih baik selepas menunaikan haji,” katanya kepada pemberita di sini.
Jelas Shahrin, ibadah melontar bukan sahaja menuntut kekuatan fizikal, malah amalan rohani yang selari dengan matlamat haji untuk membawa pulang jiwa bersih dan hati yang tunduk kepada Allah SWT.
“Melontar bukan semata-mata lemparan batu, tetapi satu pengisytiharan hati bahawa kita sanggup berubah, meninggalkan kejahatan dan kembali kepada fitrah,” katanya.
Dalam pada itu, Shahrin berkata TH turut mengadakan sesi tazkirah “Bicara Mina” bagi membimbing jemaah haji Malaysia memahami maksud di sebalik setiap rukun dan wajib haji, termasuk dalam ibadah melontar.
“TH mengadakan sesi bimbingan dan tazkirah kepada jemaah haji selepas solat subuh dan zohor sepanjang berada di Mina bagi mengingatkan mereka tentang panduan ibadah, termasuk lontaran jamrah, tahalul awal, serta perbezaan antara nafar awal dan nafar thani,” katanya.
Jemaah turut digalakkan untuk memanfaatkan masa yang panjang di Mina dengan memperbanyakkan ibadah kendiri seperti solat sunat, membaca al-Quran, berzikir dan melibatkan diri dalam aktiviti kerohanian yang bermanfaat.
Terdahulu, jemaah haji Malaysia mula bergerak dari Arafah ke Muzdalifah sejurus selepas waktu maghrib, sekitar 7 malam dan bermabit di Muzdalifah bermula 11.36 malam sebelum meneruskan perjalanan ke Mina.
Operasi masyair adalah kemuncak keseluruhan operasi haji yang melibatkan pergerakan jemaah haji Malaysia ke Arafah, Muzdalifah dan Mina bagi tempoh lima hari bermula 8 hingga 13 Zulhijjah untuk menyempurnakan ibadah rukun dan wajib haji. — Bernama