
SIMANGGANG: Ibadah korban boleh dianggap salah satu simbol pengorbanan dan semangat persaudaraan dalam kalangan masyarakat Islam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata ia memupuk semangat gotong-royong penduduk kampung dalam melaksanakan ibadah tersebut sekali gus mencerminkan budaya warisan masyarakat sejak dahulu.
“Ibadah korban bukan sahaja dilihat dapat menyemarakkan amalan bersedekah dan menunaikan tuntutan agama Islam, malah memupuk semangat gotong-royong dalam kalangan masyarakat Islam di negeri ini.
“Ibadah korban juga dapat menyatukan penduduk setempat menerusi kerjasama yang dijalankan semasa melakukan penyembelihan dan melapah daging korban.
“Kerjasama masyarakat Islam dalam membantu memudahkan ibadah korban secara tidak langsung mengukuhkan silaturahim sesama kita,” katanya semasa hadir pada pelaksanaan ibadah korban di Surau Kebahagiaan Kampung Hilir Simanggang dekat sini semalam.
Beliau turut mengingatkan umat Islam supaya sentiasa bersyukur kerana dapat melaksanakan ibadah dalam keadaan aman dan tenteram berbeza dengan saudara seagama di negara yang dilanda konflik dan peperangan.
Sehubungan itu, beliau menyeru keharmonian yang dikecapi kini terus dipelihara melalui semangat perpaduan dan kebersamaan selain pentingnya menolak sebarang unsur yang cuba memecah-belahkan masyarakat kampung dan kawasan sekitar.
“Perkara paling penting adalah perpaduan dan semangat persaudaraan. Jika ada unsur yang cuba memecah-belahkan, kita mesti bersatu sebagai satu kampung dan satu kawasan,” ujarnya.
Oleh Adi Safarman