KUCHING: Tiada apa yang lebih menggembirakan apabila menjadi tetamu Allah pada ulang tahun kelahiran.
Lebih manis, ibadah Haji yang dikerjakan bersama-sama insan tersayang. Pasti, detik ini akan dikenang sampai bila-bila.
Empat sekeluarga dari Kampung Hulu Pusa, Betong tidak menjangka dijemput oleh Allah untuk datang ke Tanah Suci pada tahun ini bagi melaksanakan rukun Islam kelima itu.
Mohamad Yakup Alim, 55, menyifatkan ibadah Haji yang bakal dilaksanakan bersama tiga lagi ahli keluarganya sebagai ‘hadiah istimewa’ daripada Allah sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-55 yang jatuh pada 13 Jun lalu.
“Saya telah menyimpan wang sejak 2006. Syukur…Alhamdulillah, kerana pada tahun ini kami sekeluarga dipanggil oleh Allah untuk menjadi tetamu istimewa,” katanya kepada Utusan Sarawak pada Majlis Meraikan Keberangkatan Jemaah Haji Negeri Sarawak Musim Haji 1444H/2023 di sebuah hotel terkemuka di Kuching.
Dalam pada itu, dia tidak menjangka akan terpanggil ke Tanah Suci kali ini memandangkan pernah menolak tawaran untuk mengejarkan Haji sebanyak dua kali.
“Saya tidak jangka akan pergi bersama isteri dan dua anak sebab pernah menolak dulu atas alasan tertentu. Saya menolak pada 2013 atas alasan masih belajar dan tahun lepas (2022) atas alasan kesihatan tidak mengizinkan,” katanya yang juga merupakan seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Entebu, Saratok.
Sementara itu, isterinya, Zamrud Sahminan yang merupakan seorang ustazah di Pusa memberitahu, sebaik sahaja mendapat tawaran Haji, mereka sekeluarga terus melakukan persiapan mental dan fizikal.
“Saya mempunyai lima anak. Tiga lagi masih menunggu panggilan untuk datang ke Tanah Suci. Semoga mereka menjadi tetamu Allah pada tahun-tahun akan datang,” katanya.
Dua anak perempuannya yang turut serta ialah Erwida Suphia, 25, dan Erdatin Syurgani, 23. Kedua-dua mereka juga bakal guru.
Empat sekeluarga ini merupakan kumpulan Haji pertama dari Sarawak yang memulakan perjalanan ke Tanah Suci pada 14 Jun.
Bagi musim kali ini, bermula pada 14 sehingga 16 Jun, sebanyak lima penerbangan domestik menerusi Malaysia Airlines akan membawa bakal-bakal Haji negeri Sarawak yang mana pada musim ini, seramai 936 orang bakal Haji berbanding 397 pada tahun lalu dari negeri Sarawak telah terpilih.
Oleh NUR AIN OTSMAN