
KUCHING: Kolej Universiti i-CATS mencipta kejayaan membanggakan apabila meraih dua pingat emas dalam kategori inovasi sempena Persidangan, Pameran dan Inovasi Antarabangsa Kesihatan Awam dan Khidmat Masyarakat Antarabangsa anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) berlangsung pada 19 hingga 22 Ogos di Hotel Waterfront.
Persidangan antarabangsa julung kali itu turut dianjurkan bersama Universitas Muhammadiyah Malang, UiTM Technoventure, Universitas Muhammadiyah Surakarta dan Universitas Airlangga dengan tema ‘Membina Kesihatan Awam yang Tahan Lasak Melalui Khidmat Masyarakat’.
Kejayaan i-CATS disumbangkan melalui dua inovasi yang dibangunkan di bawah kelab i-CATS Invention and Innovation Club (i3C), iaitu MEDIGO dan EmbraceAura.

MEDIGO, sebuah platform digital untuk akses kesihatan awam di Malaysia, dibangunkan oleh tiga pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian (Kepujian) iaitu Ronan Kuek Joo Pern, Alister Goh Zhen Hong dan Esmat Danyal Es Zulkarnaen.
Platform ini menggunakan teknologi web seperti HTML, CSS, JavaScript, PHP dan MySQL dengan fungsi utama termasuk carian perkhidmatan berdasarkan lokasi, penanda buku penyedia kesihatan serta pengurusan profil bagi pengendali perkhidmatan.
Sementara itu, EmbraceAura merupakan alat boleh pakai berasaskan kecerdasan buatan (AI) dalam bentuk jalur kepala yang direka untuk memberi sokongan emosi masa nyata kepada ibu selepas bersalin.

Ia dicipta oleh Pensyarah Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi, Mohamad Safiddin Mohd Tahir bersama pembantu makmal fakulti tersebut, Abdul Halim Hasbi, dengan sokongan Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi, Dr Hushairi Zen dan Dr Muhamad Sophian Nazaruddin.
Peranti berteknologi tinggi itu berfungsi mengesan isyarat fisiologi seperti kadar degupan jantung, suhu kulit dan aktiviti elektrodermal.
Sekiranya tahap tekanan dikesan tinggi ia bertindak balas melalui denyutan haptik lembut, penghasilan haba serta audio afirmasi peribadi melalui aplikasi yang disambungkan.
Inovasi ini mensimulasikan sentuhan menenangkan, memberikan sokongan emosi secara adaptif dan penuh empati kepada golongan ibu sekali gus menggabungkan teknologi dengan elemen kesedaran diri untuk kesejahteraan mental.
Kedua-dua projek ini digerakkan oleh Pengarah Pusat Pengurusan Teknologi Maklumat merangkap Pensyarah Kanan Fakulti Pengkomputeran dan Kejuruteraan Perisian, Nurlaila Rosli yang menjadi peneraju utama dalam merealisasikan pencapaian tersebut.
Kejayaan ini sekali gus mengangkat nama i-CATS di pentas antarabangsa, membuktikan keupayaan institusi pendidikan di Sarawak dalam menyumbang kepada inovasi teknologi dan pembangunan kesihatan awam sejagat.