KUCHING: Hospital Umum Sarawak (HUS) merekodkan 568 kes sumbing dari 2015 hingga 2025, dengan pembedahan pembaikan sumbing bibir primer dilakukan pada median usia lima bulan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 478 kes membabitkan sumbing bibir dan lelangit, manakala 90 kes lagi merupakan sumbing lelangit sekunder.
Katanya, data rawatan turut menunjukkan pembedahan sumbing lelangit dilakukan pada median usia 12.5 bulan, sekali gus menunjukkan kepentingan rujukan awal dan rawatan mengikut peringkat tumbesaran serta perkembangan kanak-kanak.
“Angka ini menyerlahkan kepentingan rujukan awal, rawatan tepat pada masanya dan susulan jangka panjang secara berterusan.
“Pemantauan tempoh rawatan penting kerana penjagaan sumbing bukan hanya mengenai melakukan pembedahan, tetapi menyediakan rawatan yang tepat pada peringkat yang sesuai dengan tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak, selain memastikan kesinambungan penjagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng pada Majlis Pelancaran Hari Kesedaran Sumbing Sarawak 2026, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, penjagaan sumbing merupakan satu perjalanan sepanjang hayat yang bermula sejak kelahiran dan berterusan sepanjang zaman kanak-kanak, remaja hingga dewasa.
Jelasnya, seseorang kanak-kanak mungkin memerlukan sokongan pemakanan, beberapa peringkat pembedahan, rawatan pergigian, penilaian pendengaran, terapi pertuturan dan bahasa serta prosedur pembinaan semula tambahan ketika membesar.
“Tiada satu jabatan yang mampu mencapai semua ini secara bersendirian.
“Di HUS, penjagaan sumbing menggabungkan Jabatan Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif, Jabatan Anestesia, pasukan Pergigian, Otorinolaringologi (ENT), Terapi Pertuturan dan Bahasa, Audiologi, Pediatrik, Kejururawatan serta perkhidmatan sokongan lain,” ujarnya.
Menurut beliau, kerjasama pasukan pelbagai disiplin berkenaan penting bagi memastikan setiap kanak-kanak menerima rawatan yang sesuai pada setiap peringkat tumbesaran dan perkembangan supaya mereka dapat makan, bertutur, mendengar, belajar, membesar dan berkembang dengan yakin.

Dr Sim berkata, Hari Kesedaran Sumbing Sarawak 2026 turut bertujuan meningkatkan pemahaman masyarakat, membetulkan mitos dan salah faham, mengurangkan stigma serta membantu keluarga memahami bila dan di mana untuk mendapatkan rawatan.
Menurutnya, keluarga juga perlu mengetahui bahawa mereka tidak bersendirian dan akan mendapat sokongan sepanjang perjalanan rawatan anak yang dilahirkan dengan sumbing.
“Setiap kanak-kanak yang dilahirkan dengan sumbing berhak mendapat peluang untuk membesar, berkembang dan mencapai potensi sepenuhnya.
“Bersama-sama, marilah kita meningkatkan kesedaran, mengurangkan stigma dan menyokong setiap perjalanan sumbing daripada kelahiran hingga dewasa,” katanya.
Oleh Adele Rissa




