

MIRI: Hujan lebat tanpa henti sejak malam tadi menyebabkan beberapa kawasan di sini dilanda banjir sekali gus mencetuskan kebimbangan dan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk yang masih trauma dengan banjir besar awal tahun ini.
Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man, dalam satu kenyataan hari ini meluahkan rasa bimbang dan kecewa apabila insiden sama terus berulang walaupun pelbagai usaha kononnya telah dijalankan oleh agensi berkaitan.
“Ini jelas menunjukkan bahawa sesuatu tidak berjalan dengan betul. Kita diberitahu banyak kerja telah dibuat, tetapi satu malam hujan pun sudah cukup menenggelamkan beberapa kawasan. Ini sangat tidak memuaskan,” katanya.
Menurutnya, orang ramai pada mulanya berasa lega apabila hujan tidak berterusan pada 7 Disember dan semalam, walaupun NADMA sudah mengeluarkan amaran mengenai potensi banjir bagi tempoh 7 Disember sehingga hari ini.


Namun hujan lebat malam tadi sehingga pagi ini mengubah segalanya apabila beberapa kawasan kembali dinaiki air.
Chiew berkata, beliau sudah berulang kali membawa isu tersebut ke Parlimen, termasuk pada sidang baru-baru ini, namun kejadian hari ini membuktikan tindakan yang diambil masih belum memberi kesan yang memadai.
Beliau menegaskan akan terus memantau dan meneliti semua projek mitigasi banjir, kerja menaik taraf perparitan dan koordinasi agensi, serta tidak teragak-agak untuk mengemukakan soalan tambahan jika hasilnya masih tidak meyakinkan.
Pada masa sama, pusat khidmat beliau akan mula menyalurkan bantuan makanan dan keperluan asas kepada keluarga yang terjejas sementara pasukannya sedang mengumpul maklumat lebih terperinci mengenai keadaan di lapangan.
“Saya menggesa penduduk Miri agar terus berwaspada dengan cuaca tidak menentu ini dan laporkan segera jika berlaku banjir serius.
“Saya akan terus memperjuangkan penyelesaian jangka panjang supaya Miri tidak lumpuh hanya kerana satu malam hujan,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling