SIBU: Beberapa sekolah selain kediaman penduduk di kawasan Bukit Assek turut mengalami kerosakan akibat kejadian angin kencang berserta hujan ribut yang berlaku lewat petang semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng menyifatkan angin kencang itu sebagai satu bencana yang belum pernah dihadapi oleh penduduk di Sibu.
“Antara kawasan terjejas ialah Jalan Punai, Jalan Merlin, Jalan Tiong Hua, Jalan Hua Kiew, Jalan Merdeka, Taman Rejang, Taman Nanyang dan sebagainya,” jelasnya kepada pemberita, hari ini.
Bagaimanapun, beliau merasa bersyukur kerana 13 rumah panjang di kawasannya tidak mengalami kerosakan.
“Hanya satu atau dua buah sekolah mengalami kerosakan serius dan sederhana. Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sacred Heart mengalami kerosakan yang agak teruk dan SMK Methodist hanya mengalami kerosakan kecil.
“Bagi kawasan luar bandar seperti Pulau Keladi, setakat ini belum ada laporan kerosakan diterima daripada penduduk,” ujarnya.
Menurutnya, banyak panggilan daripada ibu bapa yang menghantar anak mereka ke SJKC Uk Daik pagi tadi apabila Lorong Mengris yang menuju ke sekolah terbabit tidak dapat dilalui akibat pokok tumbang dan wayar eletrik.
“Saya telah memastikan jalan tersebut dapat dilalui semula sebelum sesi persekolahan pada hari ini tamat.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada pasukan dari Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Teleko dan Sesco yang telah datang membantu memulihkan keadaan di situ,” ujarnya.
Katanya, Pusat Khidmat N51 Bukit Assek juga sedang mengumpul data mangsa yang terlibat, di mana pusat khidmat ini boleh dihubungi di talian 084-313566.
Beliau turut memberitahu masih banyak kawasan yang bekalan elektrik belum dipulihkan sejak malam semalam seperti Jalan Tong Sang, Lorong Rhu, Jalan Bukit Assek 6, Jalan Mengris, Brooke Drive 5.
“Saya percaya pihak Sesco sedang sedaya upaya memulihkan bekalan elektrik agar penduduk di kawasan terbabit mendapat bekalan dalam masa terdekat,” ujarnya lagi.
Oleh AKUN GIMAN