KUCHING: Paras air di beberapa kawasan sepanjang Sungai Rajang menunjukkan peningkatan, dengan sekurang-kurangnya 11 stesen hidrologi mencatatkan bacaan melepasi tahap berjaga-jaga berikutan hujan lebat di kawasan hulu sejak beberapa hari lalu.
Data iHYDRO menunjukkan Stesen Giam Pasang B di hulu sungai hampir mencapai paras bahaya enam meter antara jam 6 pagi hingga 9 pagi sebelum turun ke paras amaran 5.5 meter menjelang tengah hari.
Di Kapit, Stesen New Headwork merekodkan paras amaran 14 meter pada tengah malam, namun turun ke 12.4 meter sehingga jam 11 pagi ini.
Stesen lain yang mencatatkan paras berjaga-jaga termasuk Belaga dan Nanga Merit, yang kekal melepasi tahap berjaga-jaga sejak tengah malam.
Di Sibu, Stesen Sungai Salim B mencatat bacaan bahaya 3.5 meter pada pagi ini, manakala Stesen Teku mencatat paras amaran 2.9 meter yang kekal sehingga jam 11 pagi.
Stesen Stabau turut mencatatkan paras amaran pada jam 6 pagi sebelum menurun ke tahap berjaga-jaga pada jam 10 pagi.
Empat lagi lokasi iaitu Nanga Sebatu, Song B, Bazaar Durin, dan Jabatan Laut Sibu turut mencatatkan bacaan pada tahap berjaga-jaga.
Oleh SHAHRUL QAIZAT