

LAWAS: Laluan utama menuju ke bandar Limbang ditenggelami air petang tadi susulan hujan lebat berterusan sejak lewat pagi.
Kejadian itu tular di media sosial selepas dikongsi oleh pengguna jalan raya yang dalam perjalanan dari pekan Medamit ke bandar Limbang, sekali gus menarik perhatian netizen khususnya dari Daerah Limbang dan Lawas.
Bagaimanapun, paras air dilaporkan beransur surut dan laluan di kawasan terjejas, khususnya di hadapan Institut Memandu Limbang, kini boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan.
Keadaan cuaca yang tidak menentu menyebabkan beberapa kawasan rendah dan lokasi yang berdepan masalah aliran air mudah terjejas, terutama apabila hujan lebat berlaku serentak dengan fenomena air pasang.
Setakat ini, situasi dilaporkan terkawal dengan kehadiran pihak polis serta agensi penyelamat bagi memantau keadaan dan memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
Oleh Adeng Edrus