
SIBU: Hujan lebat berterusan melanda kawasan pusat bandar Sibu sejak 10.00 pagi tadi.
Cuaca mendung turut menyelubungi seluruh daerah, tanpa sebarang tanda perubahan kepada cuaca panas setakat ini.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Sibu termasuk dalam senarai kawasan yang berada di bawah amaran hujan berterusan tahap waspada, susulan cuaca tidak menentu yang dijangka berlarutan.
Beberapa daerah lain turut terkesan dengan cuaca buruk, antaranya Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman dan Betong yang menerima amaran hujan berterusan tahap buruk.
Sementara itu, amaran hujan berterusan tahap waspada turut melibatkan Sri Aman (Lubok Antu), Sibu (Sibu dan Selangau), Mukah, Bintulu serta Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi).
Orang ramai dinasihatkan memantau perkembangan semasa melalui laman web rasmi MetMalaysia, aplikasi myCuaca, serta platform media sosial jabatan berkenaan.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat melalui talian hotline 1-300-22-1638.
Oleh Tarani Lanting