
MARUDI: Pekan Marudi mula dinaiki air banjir susulan hujan berterusan sejak petang semalam hingga ke hari ini.
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Marudi dan Daerah Telang Usan kini giat menjalankan pemantauan di beberapa kawasan berisiko banjir.

Antara kawasan rendah yang terjejas termasuk Pasar Marudi (air naik 0.30 meter), Kampung Ridan (0.43 meter), Kampung Dagang (0.17 meter), Kampung Cina Marudi (0.19 meter), Kampung Padang Kerbau (0.33 meter), Jalan Miri – Marudi (0.09 meter) serta Jalan Kampung Logan Tasan (0.20 meter).

Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Telang Usan yang juga Pegawai Pertahanan Awam Daerah Marudi, Mirwan Shah Masri, tujuh kawasan di pekan kecil Long Lama turut dilanda banjir, iaitu Kampung Kayan Long Lama (air naik 2–3 kaki), Kampung Long Laput (2–5 kaki), SMK Long Lama (air sedang naik), SK Morek (2 kaki) dan SK Long Ikang (5–6 kaki).

Sementara itu, kawasan lain yang turut terjejas termasuk SK Benawa Marudi (2.5 kaki), Kampung Benawa Marudi (3 kaki), Kampung Long Bemang (1.5 kaki), SK Long Bemang (1.2 kaki) serta Klinik Kesihatan Long Bemang (1.7 kaki).

Menurut Mirwan Shah, paras air dijangka terus meningkat di semua lokasi yang terjejas. Beliau mengingatkan penduduk agar sentiasa berwaspada terhadap paras air semasa dan bersedia berpindah sekiranya keadaan tidak lagi selamat. Buat masa ini, keadaan masih terkawal dan selamat.
Oleh Jiku Juguong