LUNDU: Penduduk Kampung Selampit terus berdepan kesulitan akibat banjir yang melanda kawasan mereka setiap kali hujan lebat berpanjangan.
Keadaan ini menyebabkan penduduk terpaksa meredah air setinggi dua hingga empat kaki untuk ke kampung atau ke rumah mereka di seberang.
Menurut Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Selampit, Encik Peter Baboh, kejadian banjir seperti itu sudah menjadi masalah tahunan yang berlaku setiap hujung atau awal tahun apabila hujan turun dengan lebat selama beberapa hari berturut-turut.
“Kami menghadapi kesukaran setiap kali banjir berlaku serta jalan utama ke kampung sering terputus, menyukarkan pergerakan penduduk, terutama bagi mereka yang perlu ke pekan untuk urusan harian,” katanya ketika ditemui semasa tinjauan banjir di kampung tersebut, hari ini.
Tambahnya, lebih 300 hingga 400 rumah di kawasan itu terjejas dengan jumlah penduduk dianggarkan sekitar 700 hingga 800 keluarga.
“Setakat ini, bantuan daripada pihak kerajaan diberikan kepada keluarga yang teruk terjejas, manakala rumah yang masih selamat tidak menerima sebarang bantuan.
“Keadaan masih terkawal, dan pihak JKKK Kampung sentiasa memantau situasi semasa walaupun kami telah memohon jalan penyelesaian daripada kerajaan, masalah ini masih belum dapat diatasi sepenuhnya,” jelasnya.
Penduduk Kampung Selampit berharap pihak kerajaan dapat mengambil langkah proaktif bagi menyelesaikan masalah tersebut, termasuk pembinaan jalan alternatif atau sistem perparitan yang lebih baik untuk mengelakkan banjir berulang saban tahun.
Dalam pada itu, tinjauan di pekan Lundu mendapati keadaan perniagaan berjalan seperti biasa.
Jalan utama dan deretan kedai masih beroperasi meskipun banjir melanda kawasan sekitar, semalam.
Oleh Masrin Affirah