Hujan bantu pulihkan kualiti udara, tiga kawasan masih tidak sihat

Facebook
WhatsApp
BACAAN IPU setakat 8.00 malam. Sumber NREB

KUCHING: Hujan yang melanda beberapa kawasan Sarawak hari ini sedikit membantu memperbaiki kualiti udara apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan menunjukkan penurunan, namun tiga kawasan masih merekodkan bacaan pada tahap tidak sihat setakat 8.00 malam.

Serian merekodkan bacaan tertinggi iaitu 166, diikuti Samarahan (164) dan Sri Aman (161), yang masing-masing berada dalam kategori tidak sihat.

Kuching pula merekodkan bacaan 99, sekali gus berada di penghujung kategori sederhana.

Sementara itu, Sarikei merekodkan bacaan 78, Mukah (75), ILP Miri dan Bintulu masing-masing 71, Samalaju dan Sibu masing-masing 69, Miri (63) dan Limbang (60), kesemuanya dalam kategori sederhana.

Kapit pula merekodkan bacaan 53 dan kekal dalam kategori sederhana.

Secara keseluruhan, bacaan IPU menunjukkan keadaan kualiti udara semakin baik di beberapa kawasan selepas hujan dilaporkan berlaku, namun keadaan masih belum pulih sepenuhnya khususnya di bahagian selatan Sarawak.

Hujan yang berlaku di beberapa kawasan turut berpotensi membantu mengurangkan kepekatan zarah pencemar di udara, namun kesannya terhadap bacaan IPU tidak semestinya berlaku serta-merta.

Bacaan IPU adalah berdasarkan purata bergerak 24 jam bagi parameter pencemar yang paling dominan, justeru perubahan keadaan cuaca semasa mungkin mengambil masa sebelum diterjemahkan sepenuhnya dalam bacaan IPU.

Data adalah berdasarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) Malaysia, setakat 8.00 malam, 26 Ogos 2026.

Oleh Afiq Sallehi