PIHAK Scoot Tigerair Pte Ltd, sebuah anak syarikat Penerbangan Singapura, sudah mengesahkan akan memulakan penerbangan terus dari Singapura ke Miri mulai 23 Februari ini nanti.
Hubungan dua kali seminggu dari Kota Singa itu ke Bandar Raya Peranginan Miri merupakan satu berita baik yang memberi petanda akan wujud hubungan dua hala yang baik bagi Sarawak dan Singapura.
Ini bermakna setiap Rabu dan Sabtu Miri akan menyaksikan ketibaan penerbangan terus dari Singapura pada petang jam 2.20 manakala rakyat Sarawak yang ingin mengunjungi Singapura berpeluang menumpang pesawat itu pada jam 3 petang.
Sepatutnya penjadualan penerbangan terus dari Singapura itu sudah dilaksanakan mulai 19 Januari lepas tetapi akibat beberapa keadaan ia terpaksa ditangguhkan.
Perkembangan terkini itu sesuatu yang baik bagi Sarawak dalam usaha kita untuk menggerakkan ekonomi yang selama ini malap dan hampir tidak bermaya.
Penambahan penerbangan baharu itu pasti akan merancakkan lagi pergerakan rakyat Singapura dengan rakyat Sarawak sebagai tambahan kepada konektiviti tiga kali seminggu antara Singapura dengan Kuching seperti yang sudah wujud selama ini.
Lagipun, kita ada kepentingan yang positif kerana telah wujud Sarawak Tourism And Trade Office in Singapore (STATOS) yang telah menyaksikan kerancakan hubungan pelancongan dan perdagangan antara Kota Singa dengan Bumi Kenyalang.
Menurut khabar mutakhir, Sibu juga berminat untuk mewujudkan konektiviti udara dengan Singapura.
Bagi rakyat Singapura kita yakin mereka amat berminat untuk berhubungan dengan Sarawak kerana tertarik dengan kekayaan khazanah alam di Sarawak, di samping wujudnya keadaan kestabilan politik serta keharmonian kaum yang begitu menonjol di Sarawak.
Rakyat Sarawak dapatlah menumpang meraih pengalaman Singapura yang merupakan sebuah negara republik yang begitu dinamik pembangunannya walaupun hanya merupakan sebuah pulau yang kecil yang tidak ada anugerah sumber alam sebanyak yang ada di Malaysia amnya, dan di Sarawak khususnya.
Pengalaman perkembangan dalam ilmu teknologi tinggi Singapura menepati citarasa Sarawak yang sedang membentuk diri dengan aspirasi ekonomi digitalnya, dan kita optimis masa depan kita boleh menjadi cerah dengan bergandingan dengan Singapura.
Scoot Tigerair mengoperasikan penerbangan tambang murah sejak ia mula dilancarkan pada 4 June 2002 dan telah mengendalikan laluan penerbangan jauh dan sederhana meliputi kawasan-kawasan seperti Australia, China dan India.