Hubungan Nanga Matup-Taiwan sejak 1960-an terus kukuh merentas generasi

Facebook
WhatsApp
AHLI Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien menerima cenderamata semasa menghadiri majlis makan malam Ulang Tahun ke-20 Gereja Methodist Iban Nanga Matup. Foto Pusat Khidmat Parlimen Julau

JULAU: Hubungan antara komuniti Nanga Matup dan komuniti Kristian dari Taiwan yang terjalin sejak 1960-an terus dipertahankan sehingga kini, mencerminkan ikatan kerjasama yang kukuh merentas generasi.

Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, hubungan tersebut bermula ketika kemudahan jalan raya di kawasan pedalaman Julau masih belum berkembang ketika itu.

Katanya, pada masa tersebut, kehadiran komuniti Kristian dari Taiwan bukan sahaja membawa nilai keagamaan, malah turut memberikan sokongan kepada masyarakat setempat, khususnya dalam usaha membantu pembinaan gereja.

“Hubungan yang telah dibina sejak beberapa dekad lalu terus berkembang sehingga hari ini, apabila komuniti Taiwan masih mengambil berat dan sentiasa bertanya mengenai perkembangan komuniti di Julau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis makan malam Ulang Tahun ke-20 Gereja Methodist Iban Nanga Matup, baru-baru ini.

Katanya, sambutan ulang tahun ke-20 penubuhan gereja baharu di Nanga Matup menjadi bukti kepada hubungan dan kerjasama yang telah dipupuk sekian lama antara masyarakat setempat dengan rakan mereka dari Taiwan.

“Hubungan yang bertahan selama beberapa dekad itu turut memperlihatkan bagaimana sokongan dan kerjasama antara komuniti mampu diteruskan daripada satu generasi kepada generasi berikutnya.

“Gereja bukan sekadar berfungsi sebagai tempat beribadat, malah mempunyai peranan dalam menyatukan masyarakat, menggalakkan sikap saling membantu serta memperkukuh kerjasama dalam komuniti,” katanya.

Tambahnya, nilai persatuan, tanggungjawab, saling memaafkan dan bekerjasama perlu terus dipelihara bagi membentuk masyarakat yang harmoni dan kukuh.

“Komuniti perlu terus mengekalkan semangat bersatu dan bekerjasama bagi memastikan kesejahteraan masyarakat dapat dipelihara untuk jangka masa panjang,” katanya.

Larry turut menyalurkan sumbangan berjumlah keseluruhan RM16,000 kepada tiga pertubuhan komuniti, iaitu Gereja Methodist Iban Nanga Matup, Komiti Indu Gereja Methodist Iban Nanga Matup serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Berain Nanga Bekiok.

Beliau berharap bantuan tersebut dapat menyokong kelancaran pelaksanaan aktiviti gereja dan komuniti, selain memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

Oleh Earl Anek