
BINTANGOR: Kesejahteraan rakyat luar bandar terus menjadi keutamaan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.
Katanya yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, beliau komited memperjuangkan peningkatan kemudahan asas seperti jalan kampung bagi memastikan pembangunan luar bandar terus seimbang dengan kawasan bandar.
“Melalui Program Transformasi Luar Bandar (RTP), saya telah memperuntukkan dana bagi pelaksanaan kerja menaik taraf serta membaik pulih beberapa jalan kampung yang uzur di kawasan Bintangor bagi memastikan penduduk menikmati sistem jalan raya yang lebih selamat, selesa dan mampan.
“Antara kawasan yang terlibat adalah Jalan Muhibah, Jalan Bunga Raya, Jalan Madble East, Jalan Wong Siew Kiat, Jalan Chi Yung, Lorong 1 Jalan Hua Kiew, Jalan Ong Dian, Jalan Chai Teck, Jalan Sing Hua dan Jalan Rumah Murieng Kri di Ulu Bakong,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Semalam, Tiong Sii diwakili oleh Wong Soon Mee bersama pasukan Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Sarikei dan Penolong Jurutera Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ), Churchill Barrak telah menjalankan tinjauan lapangan ke semua 10 lokasi tersebut bagi menilai keadaan jalan sedia ada dan mengenal pasti keutamaan pelaksanaan kerja menaik taraf secara berperingkat.
“Kerajaan sentiasa komited untuk memastikan rakyat luar bandar tidak terpinggir daripada arus pembangunan.
“Melalui pelaksanaan projek RTP ini, kita bukan sahaja memperbaiki jalan yang rosak, tetapi juga meningkatkan kualiti hidup penduduk setempat dengan menyediakan akses pengangkutan yang lebih lancar dan selamat,” katanya.
Tiong Sii menegaskan bahawa pembangunan infrastruktur asas di kawasan luar bandar bukan sahaja memenuhi keperluan asas penduduk, tetapi turut menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat.
“Projek sebegini amat penting dalam memperkukuh jaringan jalan luar bandar yang menjadi nadi penghubung antara kampung dan pekan utama.
“Peningkatan kemudahan asas seperti jalan kampung turut membantu memperkukuh aktiviti ekonomi rakyat luar bandar, khususnya dalam sektor pertanian dan perusahaan kecil.
“Pembangunan infrastruktur bukan sekadar memperindah kawasan, tetapi juga menyediakan kemudahan logistik yang lebih baik untuk hasil pertanian dan perniagaan kecil agar dapat dipasarkan dengan lebih mudah,” katanya.
Tambahnya, usaha menaik taraf jalan luar bandar ini akan diteruskan secara berperingkat sebagai sebahagian daripada agenda berterusan kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat serta memperkukuh jaringan ekonomi luar bandar.
Oleh Earl Anek