
SARIKEI: Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Huang Tiong Sii telah menyumbangkan sebanyak RM20,000 kepada Kelab Bola Keranjang Repok.
Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Sarikei yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, sumbangan tersebut adalah sebagai tanda sokongan beliau kepada kelab berkenaan sempena penganjuran Liga Bola Keranjang 2025.
“Liga Bola Keranjang 2025 telah bermula pada 15 Ogos dan akan berlangsung sehingga 7 September 2025. Saya berharap pada masa hadapan, lebih ramai golongan muda akan melibatkan diri dalam sukan bola keranjang,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian pembukaan Liga Bola Keranjang 2025 yang diadakan di sebuah restoran di sini, malam tadi.
Katanya, bagi melahirkan lebih ramai bakat baharu yang berkualiti, latihan secara sistematik, termasuk latihan khas untuk pelajar di peringkat sekolah rendah dan menengah perlu diadakan.
“Sebagai wakil rakyat, saya sentiasa memberi perhatian dan sokongan terhadap pembangunan sukan di kawasan ini.
“Melalui peruntukan secara berperingkat di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), sebuah gelanggang bola keranjang berbumbung sedang dibina di Meranti.
“Projek ini masih dalam proses penambahbaikan dan apabila siap kelak, saya berharap ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.
Oleh Earl Anek