

PRIHATIN….Kakitangan Pusat Khidmat Repok selaku wakil Datoʼ Sri Huang Tiong Sii bergambar bersama pesakit dan ahli keluarga pesakit.
SARIKEI: Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii telah menyumbangkan katil pesakit boleh laras kepada dua warga emas yang terlantar sakit di rumah.
Hadir mewakili Datoʼ Sri Huang yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, menyerahkan bantuan tersebut adalah kakitangan Pusat Khidmat Repok, baru-baru ini.
Katil pesakit boleh laras disumbangkan kepada Huang Kiik Ing @ Huang Nguk Ing, 83, yang menetap di Jalan Chengal dan Ling Ai Lang, 81, yang menetap di Jalan Repok.
“Sumbangan ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan saya dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela.
“Ini terutamanya dalam kalangan pesakit yang kurang berkemampuan serta memerlukan perhatian segera.
“Saya faham kesukaran yang dihadapi oleh keluarga yang menjaga pesakit terlantar di rumah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, bantuan tersebut diharapkan dapat meringankan beban kewangan keluarga serta meningkatkan keselesaan pesakit sepanjang proses rawatan di rumah.
Sementara itu, ahli keluarga kedua-dua pesakit menyatakan rasa syukur dan terharu atas sumbangan tersebut.
Oleh Earl Anek