
SARIKEI: Keperluan kesihatan golongan warga emas terus diberi perhatian apabila bantuan katil pesakit boleh laras disumbangkan kepada seorang pesakit uzur berusia 85 tahun di Sungai Sare.
Bantuan disalurkan menerusi inisiatif kebajikan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, sebagai usaha meringankan beban penjagaan kesihatan di peringkat komuniti.
Tiong Sii berkata, bantuan tersebut bertujuan membantu keluarga pesakit menyediakan kemudahan asas penjagaan yang lebih selesa dan selamat di rumah.
“Bantuan seperti katil pesakit boleh laras ini amat penting untuk memudahkan urusan penjagaan harian, khususnya bagi pesakit uzur yang memerlukan perhatian rapi.
“Usaha kebajikan ini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan golongan memerlukan, khususnya warga emas dan pesakit terlantar tidak terpinggir daripada menerima bantuan sewajarnya.
“Sebagai wakil rakyat, saya sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat dan akan berusaha memastikan bantuan dapat disalurkan mengikut keperluan sebenar di lapangan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambahnya, beliau sentiasa komited dalam menjaga kebajikan rakyat demi meningkatkan kualiti hidup masyarakat di kawasan Parlimen Sarikei dan DUN Repok.
Semalam, pasukan Pusat Khidmat Repok yang mewakili Tiong Sii telah menyerahkan bantuan katil pesakit boleh laras kepada penerima.
Penerima yang menerima bantuan tersebut ialah Yii Hua Hiong dari Sungai Sare, menerima katil pesakit boleh laras di kediamannya.
Oleh Earl Anek