
KUCHING: Hock Seng Lee Construction Sdn Bhd (HSL) meneruskan komitmen membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memiliki hartanah komersial melalui pelancaran fasa terbaharu Vista Industrial Park (VIP) serta tawaran Skim Sewa Milik (Rent-to-Own Scheme).
Menurut Pengurus Besar (Pembangunan Hartanah) HSL, Tay Chiok Kee, skim tersebut bukanlah baharu malah telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu dengan memberi manfaat kepada ramai pengusaha PKS.
“Kami telah membantu ramai usahawan memiliki hartanah mereka sendiri menerusi Skim Sewa Milik ini.
“Ia diwujudkan untuk memudahkan mereka, khususnya yang baru memulakan perniagaan dengan menyewa dahulu dan seterusnya menggunakan 60 peratus daripada bayaran sewa mereka sebagai bayaran pendahuluan untuk memiliki hartanah tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena majlis pelancaran fasa baharu VIP di La Promenade Mall, semalam.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa tempoh pelaksanaan skim ini adalah fleksibel iaitu selama tiga tahun dan tidak bersifat wajib.
“Sepanjang tempoh tiga tahun itu, mereka boleh memilih sama ada mahu membeli atau tidak. Keputusan itu terserah kepada mereka,” ujarnya.
Tambahnya lagi, tawaran ini diberikan dalam tempoh terhad sahaja dan akan digantikan dengan promosi lain dari semasa ke semasa.

Vista Industrial Park yang terletak di lokasi strategik antara Kuching Utara dan Selatan, berhampiran Samarahan serta berdekatan dengan pelabuhan, lapangan terbang dan Taman Teknologi Tinggi Sama Jaya dijangka terus menarik minat pelabur dan usahawan terutama sekali usahawan muda tempatan yang sedang mencari tapak niaga yang praktikal dan mudah diakses.
Oleh Amanda L