KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) akan berperanan sebagai agensi pusat untuk semua program pembangunan modal insan selaras penjenamaan semula agensi itu di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) semalam.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan juga telah menetapkan bahawa semua latihan peningkatan dan kepelbagaian kemahiran diletakkan di bawah satu kementerian sahaja iaitu KSM yang dikendalikan HRD Corp bagi mengelakkan pertindihan.
“Usaha ini akan diterjemahkan melalui platform bersepadu atau ‘single window’ untuk rakyat Malaysia mencari dan memohon program pembangunan kemahiran yang ditawarkan oleh kerajaan.
Platform bersepadu ini akan diakses lebih sejuta rakyat Malaysia pada tahun hadapan,” katanya ketika melancarkan jenama baharu HRD Corp dan platform sehenti Program Kemahiran Upskill Malaysia di sini semalam.
Ismail Sabri berkata, sebanyak 5,000 kursus akan ditawarkan oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan dan dijangka akan disertai 220,000 peserta menerusi pembiayaan kerajaan.
Perdana Menteri berkata, beliau yakin HRD Corp yang dahulu dikenali sebagai Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) mampu terus menyokong visi Malaysia untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi berteraskan ekonomi digital, melalui pembangunan Keluarga Malaysia.
“Ini selaras dengan aspirasi kerajaan yang termaktub dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), berteraskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.
Ismail Sabri berkata, dua dimensi utama RMK-12, iaitu Pemerkasaan Ekonomi dan Perekayasaan Sosial sememangnya memerlukan inisiatif yang mencipta peluang pekerjaan dan latihan kemahiran untuk segenap masyarakat.
Beliau berharap HRD Corp akan dapat memberikan manfaat serta impak yang besar kepada negara untuk jangka panjang, selaras dengan misi agensi itu untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat Malaysia melalui pembelajaran sepanjang hayat dan memenuhi keperluan pekerjaan masa hadapan.
“Menjadi harapan saya agar HRD Corp akan terus menyokong usaha pembangunan modal insan melalui lebih banyak program kemahiran, peningkatan kemahiran dan kemahiran semula yang akan memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia,” katanya. – Bernama