
KUCHING: Hospital Umum Sarawak (HUS) sedang mengesan waris atau ahli keluarga kepada seorang lelaki warga emas dikenali sebagai Phan Kah Shing, 86, bagi tujuan kebajikan dan rawatan lanjut.
Menurut kenyataan HUS, Phan Kah Shing yang berbangsa Cina dan berasal dari Miri, dilahirkan pada 14 Oktober 1939, kini berada di Wad Kecemasan hospital berkenaan selepas dihantar untuk mendapatkan rawatan.
Sumber sukarelawan memaklumkan bahawa lelaki berkenaan telah menetap di Sarawak Hun Nam Siang Tng sejak kira-kira 30 tahun lalu dan kini berada dalam keadaan uzur serta mengalami masalah penglihatan.
Bagaimanapun, pihak hospital tidak dapat memperoleh sebarang maklumat lanjut mengenai identiti diri atau ahli keluarganya memandangkan penama tidak berupaya memberikan keterangan.
Sehubungan itu, HUS menggesa mana-mana waris atau ahli keluarga Phan Kah Shing agar tampil menghubungi Pegawai Kerja Sosial Perubatan Aime Yusup,di talian 082-276666 sambungan 4338 pada waktu pejabat bagi membantu urusan selanjutnya.