
SIMANGGANG: Hospital Sri Aman menerima Anugerah Piawaian Emas Pengurusan Tenaga (EMGS) tiga bintang di bawah program Skim Pengurusan Tenaga ASEAN (AEMAS) sebagai pengiktirafan terhadap komitmen institusi itu dalam pengurusan tenaga yang cekap dan mampan.
Menurut kenyataan media Hospital Sri Aman, anugerah berprestij itu disampaikan oleh Syed Ibrahim Syed Noh pada majlis yang berlangsung di Kuala Lumpur semalam.
Penghargaan tersebut diterima oleh Pengarah Hospital Sri Aman, Dr Hazwani Mohd Yusop yang mewakili seluruh warga hospital berkenaan.
Menurut kenyataan itu, kejayaan berkenaan merupakan hasil kerjasama erat semua kakitangan Hospital Sri Aman bersama rakan strategik termasuk syarikat konsesi One Medicare.

Usaha berterusan semua pihak dalam melaksanakan pelbagai inisiatif kecekapan tenaga secara konsisten dan berkesan menjadi antara faktor utama kejayaan hospital itu meraih pengiktirafan berkenaan.
Hospital Sri Aman turut menyifatkan anugerah itu sebagai bukti komitmen berterusan institusi berkenaan dalam mengurangkan penggunaan tenaga serta membudayakan amalan hijau dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan.
Menurut kenyataan sama, pendekatan pengurusan tenaga yang sistematik bukan sahaja membantu penjimatan kos operasi, malah menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar selaras agenda pembangunan mampan negara.
Hospital Sri Aman merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas dedikasi dan usaha berterusan, sambil menegaskan komitmen untuk terus melangkah ke arah menjadikan hospital itu lebih hijau, cekap dan mampan pada masa hadapan.
Oleh Adi Safarman