
SIBU: Hospital Sibu mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi antara hospital terawal di negara ini dilengkapi mesin Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) jantung berteknologi tinggi yang hampir tidak memerlukan penggunaan helium.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, teknologi berkenaan merupakan satu lonjakan besar dalam bidang perubatan kerana berbeza daripada mesin MRI konvensional yang lazimnya bergantung kepada penggunaan helium dalam kuantiti tinggi bagi menyokong sistem magnet.
Menurutnya, kehadiran mesin tersebut bukan sahaja memperkukuh kemudahan kesihatan di Sarawak, malah meningkatkan keupayaan diagnostik khususnya bagi penyakit jantung.
“Walaupun terdapat lebih 100 mesin MRI di Malaysia, keupayaan untuk menjalankan imbasan jantung atau cardiac MRI berada pada tahap yang lebih tinggi dan memerlukan teknologi khusus,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran mesin berkenaan di Hospital Sibu, hari ini.

Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, MRI jantung memainkan peranan penting dalam menilai tahap bekalan darah ke jantung serta mengesan penyumbatan arteri.
Katanya, teknologi itu turut mampu menentukan keadaan otot jantung sama ada masih berfungsi atau sebaliknya, sekali gus membantu doktor membuat keputusan rawatan yang lebih tepat.
“Jika otot jantung telah mati, rawatan seperti pembedahan pintasan, belon atau pemasangan stent tidak lagi berkesan,” jelasnya.
Selain imbasan jantung, mesin berkenaan turut berupaya menjalankan pemeriksaan menyeluruh termasuk otak dan bahagian lain tubuh badan.
Perolehan mesin tersebut direalisasikan menerusi kerjasama strategik antara Sarawak Heart Foundation, Kementerian Kesihatan (KKM), 20 penderma serta Philips Malaysia.
Usaha berkenaan bermula melalui inisiatif sekumpulan penderma yang berjaya mengumpul dana sebanyak RM2.02 juta, manakala kerajaan melalui KKM menyalurkan peruntukan lebih RM1.2 juta bagi menaik taraf kemudahan bilik khas untuk penempatan mesin tersebut.
Melalui teknologi ini, pesakit dari kawasan tengah Sarawak tidak lagi perlu ke Kuching untuk mendapatkan perkhidmatan imbasan jantung, sekali gus mempercepatkan proses diagnosis dan rawatan.
Oleh Tarani Lanting