Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEKNOLOGI
  • Hospital Sibu kini miliki mesin Pengimejan Resonans Magnetik jantung kedua di Sarawak
  • TEKNOLOGI

Hospital Sibu kini miliki mesin Pengimejan Resonans Magnetik jantung kedua di Sarawak

Utusan Sarawak 5 hours ago
UNTUK SIBU… Dr Sim (empat kiri), Jamilah (lima kanan), Chieng (tiga kiri), Ting (kiri), Lau (dua kiri), Dr Teng (dua kanan) serta yang lain ketika meninjau MRI Jantung di Hospital Sibu, hari ini.

SIBU: Hospital Sibu kini memperkukuh keupayaan perkhidmatan kardiologi apabila menerima mesin Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) jantung berteknologi tinggi, menjadikannya hospital kedua di Sarawak yang memiliki kemudahan tersebut.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, berkata pemasangan mesin MRI jantung generasi baharu itu direalisasikan hasil kerjasama strategik antara Yayasan Jantung Sarawak dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurutnya, mesin yang dibekalkan oleh Philips pada asalnya diperuntukkan untuk Hospital Umum Sarawak dan Pusat Jantung Sarawak, namun akibat kelewatan kerja menaik taraf di lokasi asal, unit tersebut akhirnya ditempatkan di Hospital Sibu.

UNTUK SIBU… Dr Sim serta yang lain ketika meninjau MRI Jantung di Hospital Sibu, hari ini.

“Yayasan Jantung Sarawak telah menyumbang sebanyak RM2.5 juta bagi tujuan peningkatan teknologi. Dalam tempoh menunggu kesiapan bilik, pihak pembekal menawarkan model terkini yang lebih canggih dan khusus untuk pengimejan jantung,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke hospital berkenaan, hari ini. 

Dr Sim berkata penempatan mesin MRI jantung memerlukan kerja pengubahsuaian tambahan melebihi RM1 juta kerana sistem tersebut memerlukan fasiliti khas serta operasi berterusan yang stabil.

Beliau menjelaskan keputusan menempatkan mesin itu di Sibu adalah pengiktirafan terhadap sokongan berterusan komuniti perniagaan tempatan terhadap Yayasan Jantung Sarawak.

“Tanpa sokongan yayasan, kemudahan ini sukar diperoleh dalam masa singkat. Sekiranya bergantung sepenuhnya kepada peruntukan persekutuan, kemungkinan besar Hospital Sibu terpaksa menunggu lebih lama,” katanya yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Dr Sim menambah MRI jantung merupakan alat diagnostik penting untuk menilai tahap kesihatan otot jantung, khususnya bagi menentukan sama ada rawatan invasif seperti pembedahan pintasan atau angioplasti sesuai dilakukan.

“Teknologi ini membolehkan doktor mengenal pasti sama ada otot jantung masih berfungsi. Jika otot telah rosak sepenuhnya, rawatan seperti belon atau pintasan mungkin tidak memberi manfaat kepada pesakit,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa KKM sedang melaksanakan proses tender bagi pembinaan makmal kateterisasi jantung (Cath Lab) di beberapa hospital utama, termasuk Hospital Sibu dan Hospital Miri, selain dua hospital lain di Sabah dan Semenanjung Malaysia.

“Apabila siap kelak, prosedur angiogram dan angioplasti boleh dilakukan di hospital tempatan, sekali gus mengurangkan keperluan pesakit dirujuk ke Kuching serta membantu mengurangkan kesesakan di Pusat Jantung Sarawak,” katanya, sambil menjangkakan tempoh pembinaan mengambil masa sekurang-kurangnya setahun selepas tender dimuktamadkan.

Dengan adanya MRI jantung serta perancangan pembinaan Cath Lab, Dr Sim berkata Hospital Sibu dijangka muncul sebagai antara pusat jantung satelit paling lengkap di negeri ini.

Beliau turut menyentuh perkembangan di Hospital Bintulu yang baru-baru ini menerima naik taraf peralatan angiografi bernilai lebih RM2 juta hasil sumbangan Yayasan Jantung Sarawak.

“Peningkatan ini membolehkan pakar kardiologi dari Pusat Jantung Sarawak datang ke Bintulu setiap bulan untuk mengendalikan kes tidak kritikal, manakala kes kecemasan juga dapat dirawat di hospital berkenaan,” jelas beliau.

Dr Sim menambah, Sarawak kini memiliki dua mesin MRI jantung daripada keseluruhan kira-kira lapan hingga sepuluh unit seumpamanya di seluruh negara yang dibekalkan oleh syarikat utama seperti Philips dan Siemens.

“Daripada empat atau lima mesin MRI jantung keluaran Philips di Malaysia, dua berada di Sarawak. Ini mencerminkan usaha proaktif negeri ini dalam memperkukuh perkhidmatan kesihatan melalui kerjasama awam dan swasta,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawah.

Menurut beliau, nilai sebenar mesin MRI jantung dianggarkan antara RM8 juta hingga RM9 juta, namun ia berjaya diperoleh pada kos sekitar RM2.6 juta hasil perjanjian pertukaran awal dengan pihak pembekal.

“Semua ini adalah hasil perancangan rapi dan kerjasama erat antara kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan serta pihak yayasan demi memastikan rakyat Sarawak mendapat akses rawatan jantung yang lebih baik,” tambahnya.

Turut mengiringi Dr Sim dalam lawatan tersebut ialah Ahli Lembaga Amanah Yayasan Jantung Sarawak Puan Sri Datuk Amar Jamilah Anu, ADUN Bukit Assek Joseph Chieng, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu Clarence Ting, Ahli Majlis Daerah Luar Bandar Sibu Kaunselor Kevin Lau dan Timbalan Pengarah Hospital Sibu Dr Rachel Teng.

Oleh Tarani Lanting

Tags: Teknologi

Continue Reading

Previous: Sarawak sasar bangunkan satelit sendiri hadapi perubahan iklim – Premier Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.