SIBU: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Sibu Jaya menggesa pihak Hospital Sibu untuk mempertimbangkan langkah-langkah inklusif dalam pelaksanaan sistem pembayaran tanpa tunai.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, SUPP Sibu Jaya berkata, usaha ini bagi memastikan golongan warga emas dan komuniti luar bandar tidak terpinggir.
Katanya, inisiatif digitalisasi dalam sektor kesihatan adalah langkah positif namun pelaksanaannya perlu dijalankan secara berperingkat agar tidak menimbulkan kesukaran kepada golongan rentan.
Menurutnya, ramai penduduk di kawasan luar bandar masih bergantung kepada wang tunai disebabkan oleh kekurangan akses kepada kad debit atau kredit, yang berpunca daripada infrastruktur perbankan yang terhad dan masalah sambungan internet.
“Warga emas pula mungkin tidak biasa menggunakan teknologi tanpa tunai. Keadaan ini boleh menyukarkan mereka mendapatkan perkhidmatan perubatan penting, terutama dalam situasi kecemasan,” kata kenyataan itu.
Kenyataan turut berkata, peralihan mendadak kepada sistem tanpa tunai dikhuatiri akan menimbulkan tekanan, khususnya kepada pesakit atau keluarga yang bergantung kepada wang tunai sebagai kaedah pembayaran utama.
“Justeru itu SUPP Sibu Jaya mencadangkan tiga langkah utama untuk memastikan peralihan kepada sistem pembayaran tanpa tunai dilakukan secara inklusif iaitu tempoh kelonggaran kaunter pembayaran tunai harus dikekalkan sekurang-kurangnya enam bulan bagi memberi masa kepada masyarakat untuk menyesuaikan diri dengan sistem baharu ini.
“Selain itu, pertimbangan khas perlu diberikan kepada warga emas dengan memberi kelonggaran untuk terus menggunakan pembayaran tunai sepanjang tempoh peralihan sehingga mereka bersedia sepenuhnya,” katanya.
Kenyataan itu juga berkata, platform pembayaran digital tempatan, S Pay Global yang popular di Sarawak juga harus dijadikan pilihan pembayaran untuk memudahkan penduduk tempatan.
“SUPP Sibu Jaya menegaskan bahawa pemodenan teknologi dalam sektor kesihatan perlu dilaksanakan secara adil dan inklusif.
Katanya lagi, kemajuan teknologi harus memperbaiki kehidupan, bukan menimbulkan cabaran baharu.
“Justeru, pihak hospital digesa mengambil kira cadangan ini untuk memastikan semua lapisan masyarakat dapat menikmati manfaat sistem pembayaran tanpa tunai tanpa sebarang halangan,” kata kenyataan itu lagi.
Oleh Akun Giman