
SIBU: Penganjuran Program Kemas Kini Penyakit Berjangkit 2025 di Hospital Sibu hari ini memainkan peranan penting dalam meningkatkan kefahaman, pematuhan rawatan, serta mengukuhkan amalan kawalan jangkitan dalam kalangan petugas kesihatan.
Pengarah Hospital Sibu, Dr Nanthakumar Thirunavukkarasu berkata, program tersebut amat relevan terutama dalam merawat pesakit HIV serta menangani pelbagai penyakit berjangkit lain yang kian mencabar.
Menurut beliau, kehadiran peserta daripada hospital dan klinik kesihatan seluruh Sarawak membuktikan kesungguhan untuk menambah pengetahuan dalam bidang tersebut.
“Saya difahamkan peserta hadir daripada pelbagai hospital dan klinik. Anda akan berhadapan dengan pelbagai jenis penyakit berjangkit dalam amalan harian, dan salah satu aspek utama yang ditekankan hari ini ialah kawalan jangkitan,” katanya ketika merasmikan program tersebut di sini.
Program anjuran Unit Penyakit Berjangkit (IDU) Hospital Sibu itu disertai seramai 130 peserta terdiri daripada doktor, jururawat dan anggota kesihatan dari seluruh Sarawak.
Dr Nanthakumar turut menyifatkan penganjuran kali ini sebagai antara yang terbesar pernah dilaksanakan oleh unit berkenaan, khususnya di luar premis hospital.
“Program ini sangat relevan dengan keperluan kerja harian, terutama di kawasan tengah Sarawak. Di sini, kita berdepan kes penyakit berjangkit yang kompleks, termasuk pesakit yang dijangkiti dua penyakit serentak seperti leptospirosis dan melioidosis, atau denggi dan malaria,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta yang sanggup meluangkan masa pada hujung minggu demi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang kesihatan awam.
“Kita akan membincangkan pelbagai topik hari ini. Ambillah peluang untuk bertanya dan belajar daripada para penceramah. Interaksi yang baik penting untuk membolehkan anda mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dalam amalan sebenar,” tambah beliau.
Oleh Akun Giman