
VIENTIANE: Sebuah hospital pesawat yang dibangunkan bersama oleh Hospital Mata & ENT Universiti Fudan di Shanghai dan Perbadanan Pesawat Komersial China (COMAC), baru-baru ini tiba di ibu negara Laos, Vientiane, bagi melaksanakan misi perubatan kebajikan awam luar negara yang pertama, lapor Xinhua.
Hospital itu yang diubah suai daripada sebuah C909 iaitu pesawat serantau turbofan jarak dekat-sederhana buatan tempatan, berjaya menyempurnakan pembedahan pertama di atas pesawat itu pada Selasa.
Naib Presiden Laos, Pany Yathotou, diiringi oleh pegawai daripada jabatan kerajaan berkaitan, melawat Hospital Pesawat C909 berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay pada Selasa.
Menteri Kesihatan Laos Baykham Khattiya berkata, inisiatif perubatan itu menunjukkan semangat kemanusiaan yang tinggi dan mengukuhkan kerjasama berkesan antara Laos dan China dalam sektor penjagaan kesihatan. Beliau menarik perhatian bahawa projek itu meningkatkan lagi persefahaman bersama serta memperdalam persahabatan antara kedua-dua negara.
Dalam ucapannya, Duta China ke Laos Fang Hong, menyifatkan hospital pesawat itu sebagai model inovatif kerjasama perubatan antara kedua-dua negara, yang mempamerkan semangat komuniti China-Laos dengan masa hadapan yang dikongsi bersama.
Beliau berharap lebih banyak projek kerjasama berorientasikan mata pencarian akan bertapak dan berkembang di seluruh Laos, sekali gus membolehkan persahabatan yang lama antara China dan Laos terus bersinar pada era baharu.
Pasukan perubatan dari Hospital Mata & ENT Universiti Fudan tiba di Vientiane pada 30 Jan lepas untuk menyediakan perundingan dan pemeriksaan perubatan percuma.
Daripada 600 pesakit yang disaring, hampir 50 orang telah dipilih untuk pembedahan. Mereka dijadualkan menjalani prosedur sama ada di atas hospital pesawat berkenaan atau di hospital tempatan.
Hospital Pesawat C909 merupakan hospital berasaskan pesawat pertama di dunia yang mengkhusus dalam bidang oftalmologi (mata), otolaringologi (telinga, hidung dan tekak), dan prosedur perubatan berkaitan. Pesawat itu dilengkapi kemudahan perubatan canggih, termasuk mikroskop surgeri oftalmik, endoskop ENT, serta sistem diagnostik dan rawatan digital. – Bernama