
MIRI: Tabung Darah Hospital Miri menggesa orang ramai yang mempunyai kumpulan darah A, B, O dan AB untuk tampil menderma darah sama ada di unit Tabung Darah Hospital Miri atau di mana-mana kempen derma darah bergerak yang dianjurkan dari semasa ke semasa.
Menurut kenyataan pihak hospital, usaha ini penting bagi memastikan bekalan darah di hospital sentiasa berada pada paras yang mencukupi untuk kegunaan pesakit yang memerlukan, termasuk mangsa kemalangan, pesakit menjalani pembedahan serta individu yang memerlukan transfusi darah secara berkala.
Tabung Darah Hospital Miri beroperasi pada Isnin hingga Khamis bermula 8.00 pagi hingga 12.15 tengah hari, 2.00 petang hingga 4.15 petang.
Pada setiap Jumaat bermula 8.00 pagi hingga 11.15 Pagi dan 2.15 petang hingga 4.15 petang.
Sementara itu, pada Sabtu dan Ahad adalah tertakluk kepada jadual kempen derma darah bergerak.
Pihak hospital turut menegaskan bahawa setiap titisan darah amat bernilai dalam menyelamatkan nyawa, dan pendermaan darah secara berkala dapat membantu mengekalkan bekalan darah yang stabil di hospital, tegas kenyataan itu hari ini.
Orang ramai digalakkan untuk mengikuti jadual terkini kempen derma darah bergerak melalui saluran rasmi Hospital Miri dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak.
Oleh Adum Liu