MELAWAT… Dato Sri Lee Kim Shin melawat Makmal Histopatologi di Hospital Miri.
AKHIRNYA Hospital Miri mempunyai Makmal Histopatologi,menjadikannya hospital kerajaan kedua di Sarawak memiliki kemudahan tersebut selepas Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kuching.
Makmal ini dijangka memulakan operasi secara berperingkat mulai Julai ini sebaik pemasangan semua peralatan makmal selesai.
Dengan adanya makmal ini, Hospital Miri akan dapat menyediakan perkhidmatan histopatologi secara ‘in house’ kepada pesakit di sini sekali gus menambah mutu perkhidmatan kepada pesakit Hospital Miri dan hospital daerah lain di zon utara Sarawak.
Pembinaan bangunan Makmal Histopatologi tersebut merupakan hasil sumbangan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) daripada Shin Yang Group kepada Hospital Miri.
Makmal Histopatologi bernilai RM1.835 juta terdiri daripada komponen bangunan dengan keluasan 313.45 meter persegi, komponen peralatan makmal, komponen unit penyaman udara dan juga sistem ventilasi makmal.
Makmal itu secara rasminya diserahkan Hospital Miri dalam satu majlis yang disaksikan oleh Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin di Hospital Miri pada 1 Julai lalu.
Lee dalam ucapannya berkata, dengan adanya kemudahan itu akan membolehkan Hospital Miri memproses spesimen dengan lebih cepat tanpa perlu menghantarnya ke Kuching.
“Jika kita tidak mempunyai makmal di sini, kita kena hantar semua spesimen ke Kuching (HUS) dan perkara ini memakan masa yang lama iaitu lebih kurang dua minggu ataupun masalah kehilangan spesimen sewaktu proses penghantaran.
“Perkara ini akan membebankan pihak hospital dan ini juga memberi kesan kepada rawatan pesakit di Hospital Miri dan doktor pakar juga kecewa kerana mereka tidak dapat meneruskan rawatan seterusnya tanpa keputusan spesimen.
“Jadi, adanya makmal ini rawatan yang lebih pantas boleh diberikan kepada pesakit setelah diagnosis histologi diketahui,” katanya.
Kim Shin memuji syarikat swasta tersebut yang bermurah hati kerana tampil ke hadapan dan menyumbang makmal yang sangat diperlukan khas untuk pesakit di utara Sarawak.
“Saya dimaklumkan sebenarnya terdapat enam pakar patologi di sini (Hospital Miri) tetapi tiada makmal yang sesuai untuk mereka bekerja.
“Semasa pandemik Covid-19, pasukan perubatan di sini terpaksa menghantar calitan ke Kuching dan ia mengambil masa kira-kira dua minggu untuk mendapatkan keputusan,” ujarnya
Sementara itu, Pengarah Hospital Miri Dr. Jack Wong berkata, makmal baharu itu akan menjimatkan masa dan membolehkan mereka lebih responsif terhadap jangkaan pesakit.
“Kemudahan makmal ini menyingkatkan masa kerana spesimen tidak perlu dihantar ke Kuching,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh timbalanya Dr. Francis Heng.
Turut hadir, Eksekutif Kumpulan Kumpulan Shin Yang, Datuk James Ling Lu Kiong. Sementara itu, projek pembinaan makmal ini bermula pada 17 Ogos 2021 dan siap sepenuhnya pada 30 Mac tahun ini.
Oleh LIONG CHAI LING