
MIRI: Hospital Miri sedang giat mengesan waris kepada seorang pesakit lelaki berusia 29 tahun yang kini menerima rawatan di fasiliti kesihatan itu.
Pesakit dikenali sebagai Steve Paulus Jali dan dipercayai berasal dari Rumah Birai Sungai Baoh, Dalat berdasarkan maklumat pada kad pengenalannya.
Menurut kenyataan hospital, lelaki berkenaan telah dihantar ke hospital dari Klinik Kesihatan Bekenu pada 6 Disember lalu, selepas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran tiang elektrik.
“Semasa dibawa masuk, pesakit tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan usaha mengenal pasti waris hanya diperoleh melalui maklumat susulan,” menurut kenyataan itu.
Hasil semakan mendapati pesakit mempunyai ibu dan seorang adik perempuan yang dipercayai tinggal di Rumah Digat Sungai Sebindang, Selangau, selain seorang abang yang menetap di Taman Tunku, di sini.
Bagaimanapun, usaha pihak hospital untuk menghubungi ahli keluarga melalui nombor telefon yang diperoleh gagal.
Sehubungan dengan itu, waris atau ahli keluarga pesakit dimohon tampil segera ke Wad 5B, Blok B Hospital Miri bagi membincangkan rawatan serta urusan discaj pesakit.
Orang ramai yang mengenali pesakit atau mempunyai maklumat berkaitan turut diminta menghubungi Jabatan Kerja Sosial Perubatan Hospital Miri di talian 085-460633 pada waktu pejabat atau hadir terus ke wad berkenaan dengan kadar segera.
Oleh Liong Chai Ling