Hospital HMI bakal bawa teknologi perubatan moden ke Sarawak mulai 2029 – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
PREMIER Sarawak berucap pada Majlis Pecah Tanah Hospital Pakar Regency di Northbank, Kuching.

KUCHING: Hospital Pakar Regency milik Health Management International (HMI) Medical yang dijadualkan beroperasi pada 2029 bakal membawa teknologi dan inovasi perubatan moden ke Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata kemudahan itu akan memperkenalkan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), data raya, robotik, teleperubatan, genomik dan perubatan ketepatan.

“Perkembangan itu akan membantu memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai pusat serantau bagi penjagaan kesihatan lanjutan, pendidikan perubatan, penyelidikan bioperubatan dan inovasi kesihatan digital.

SIMBOLIK Majlis Pecah Tanah Hospital Pakar Regency disempurnakan oleh Premier Sarawak di Northbank, Kuching hari ini.

“Teknologi kecerdasan buatan mengubah kaedah diagnosis, data raya membantu meningkatkan usaha pencegahan penyakit, robotik meningkatkan ketepatan pembedahan, manakala teleperubatan menjadikan rawatan pakar lebih mudah diakses oleh masyarakat luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Hospital Pakar Regency di NorthBank, Kuching, hari ini.

Tambah beliau, pembangunan hospital berkenaan turut memperkukuh kapasiti penjagaan kesihatan serta menarik lebih ramai pesakit dari Sarawak dan rantau ASEAN untuk mendapatkan rawatan di Kuching.

RAKAMAN gambar kenangan bersama tetamu kehormat yang lain pada Majlis Pecah Tanah Hospital Pakar Regency di Northbank, Kuching, hari ini.

“Sarawak merekodkan lebih 100,000 pelancong perubatan pada 2025, sekali gus menunjukkan permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti di negeri ini.

“Usaha memperkukuh sektor kesihatan turut merangkumi kerjasama penyelidikan dengan Pusat Penyelidikan Penyakit Tropika Sarawak yang menggunakan sumber biodiversiti negeri.

“Kerajaan Sarawak telah melabur lebih RM300 juta untuk menubuhkan pusat ini dan kemudahannya kini hampir siap dengan kelengkapan penyelidikan bertaraf dunia,” jelasnya.

VISUAL Hospital Pakar Regency yang bakal dibangunkan di NorthBank, Kuching dan dijadualkan beroperasi pada 2029.

Mengulas lanjut, beliau berkata kemudahan pascarawatan seperti kawasan di Sematan yang menghadap laut serta penginapan di kawasan hutan Sabal turut sedang dibangunkan bagi melengkapkan ekosistem penjagaan kesihatan negeri.

Untuk rekod, Hospital Pakar Regency merupakan hospital swasta pakar lanjutan SMART berkapasiti 300 katil yang dibangunkan di NorthBank Township dengan pelaburan melebihi RM400 juta bagi fasa pertama.Hospital berkenaan akan menyediakan pelbagai kemudahan, termasuk pusat kanser komprehensif, wad pintar, bilik pembedahan termaju serta kemudahan rawatan rapi, diagnostik dan rawatan pelbagai disiplin.

Pembangunan hospital itu dijangka mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan dalam bidang perubatan, kejururawatan, sains kesihatan bersekutu, pengurusan, teknikal dan perkhidmatan sokongan.

Oleh Masrin Affirah