
HO CHI MINH CITY: Hospital FV di Ho Chi Minh City mengumumkan pelaburan dalam peranti radiosurgeri berasaskan robotik yang disepadukan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI), sekali gus menjadi yang pertama seumpamanya di Vietnam.
Menurut Agensi Berita Vietnam (VNA), sistem CyberKnife S7 yang dianggarkan bernilai hampir 200 bilion dong Vietnam (sekitar US$8 juta) membolehkan rawatan tumor di mana-mana bahagian badan tanpa perlu menjalani pembedahan, menandakan kemajuan besar dalam terapi kanser bukan invasif berketepatan tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Hospital FV, Dr Jean-Marcel Guillon berkata sistem CyberKnife kali pertama dibangunkan pada 1990 oleh pakar bedah saraf Universiti Stanford, Amerika Syarikat, Dr John R. Adler.
Kini memasuki generasi ketujuh, sistem itu telah terbukti secara klinikal melalui lebih 5,000 penerbitan saintifik.
Dengan keupayaannya menyasarkan tumor secara tepat di seluruh badan, CyberKnife S7 dianggap sebagai satu revolusi dalam pembedahan radio invasif minimum.
Keistimewaan sistem itu terletak pada teknologi panduan imej masa nyata dan lengan robotik yang menggabungkan pemecut linear 6MV dengan pergerakan 3D sepenuhnya, membolehkan sasaran radiasi dilakukan dengan ketepatan sub-milimeter.
Tempoh rawatan juga lebih singkat, dengan hanya memerlukan antara satu hingga lima sesi berbanding 10 hingga 40 sesi bagi radioterapi konvensional.
Ketua Pusat Kanser Hy Vong, Dr Basma M’Barek berkata sistem itu amat berkesan untuk merawat tumor yang sukar dicapai atau berulang serta terletak berhampiran organ penting.
Ia juga boleh digunakan untuk merawat beberapa keadaan bukan kanser seperti kecacatan arteriovena di otak dan gangguan irama jantung — situasi yang biasanya di luar keupayaan mesin radioterapi standard.
Dengan menerajui teknologi itu, Hospital FV berhasrat memperluas akses kepada rawatan kanser bertaraf tinggi di Vietnam, mengurangkan kebergantungan terhadap rawatan luar negara, serta memenuhi permintaan pesakit antarabangsa dan pelancong perubatan yang kian meningkat.– Bernama-Vna