
BINTULU: Hospital Bintulu kini berdepan kekurangan bekalan darah bagi kumpulan A, B dan O positif, khususnya komponen platelet yang amat diperlukan oleh pesakit kanser yang sedang menjalani rawatan minggu ini.
Menurut kenyataan Tabung Darah Hospital Bintulu, paras bekalan darah kini berada pada tahap kritikal, dan orang ramai yang sihat serta memenuhi syarat digesa tampil segera untuk menderma.
“Kami amat memerlukan platelet yang penting untuk menghentikan pendarahan, terutamanya bagi pesakit kanser yang sedang menjalani rawatan minggu ini,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai boleh hadir untuk menderma darah secara ‘walk-in’ di Tabung Darah Hospital Bintulu pada hari Rabu dan Khamis, dari 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari dan 2.30 petang hingga 4.30 petang.
Pada hari Jumaat, waktu operasi adalah dari 8.30 pagi hingga 11.15 pagi dan 2.30 petang hingga 4.30 petang.
Pihak hospital turut menggalakkan orang ramai untuk menyebarkan makluman ini dan mengajak rakan-rakan yang layak agar turut serta dalam misi menyelamatkan nyawa.
“Tindakan kecil anda hari ini boleh menyelamatkan nyawa,” ujar kenyataan itu.
Oleh Carolyne Utih